Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura negara maju berkat keringat sepanjang hayat Lee Kuan Yew

PM Lee mengongsi beberapa kisah peribadi mengenai mendiang Encik Lee, serta kenangan manis.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Mar 2015 06:29PM Dikemas Kini : 01 Apr 2015 12:37AM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyifatkan Encik Lee Kuan Yew ibarat "kerdipan sebutir bintang" yang cahayanya menerangi kehidupan rakyat dan membimbing kita selama ini.

"Minggu ini, seluruh Singapura turut berduka dengan pemergian mendiang. Cahaya yang membimbing kita selama ini sudah terpadam. Kita kehilangan bapa pengasas, Encik Lee Kuan Yew, yang menabur jasa kepada Singapura sepanjang hayatnya," ujar beliau.

"Beliau dan rakan-rakan seperjuangannya menerajui pemimpin perintis yang lain untuk sama-sama membangunkan sebuah pulau, menjadi Singapura, sebuah negara yang maju."

PM Lee berkata demikian dalam ucapan belasungkawanya di Upacara Persemadian Negara untuk mendiang Encik Lee di Pusat Budaya Universiti (UCC), semalam. Beliau kelihatan berkali-kali cuba menahan sebak semasa menyampaikan ucapannya dalam Bahasa Inggeris itu. 

TIDAK TUNJUKKAN KASIH SAYANG SECARA TERBUKA

Beliau turut berkata, meskipun bapanya Encik Lee bukan jenis bapa yang menunjukkan kasih sayangnya secara terbuka, namun beliau tetap menyayangi keluarganya dengan sepenuh hati.

PM Lee mengongsi beberapa kisah peribadi mengenai mendiang Encik Lee, serta kenangan-kenangan manis semasa kecil.

Encik Lee Kuan Yew, anaknya Encik Lee Hsien Loong dan isterinya Cik Kwa Geok Choo. (Gambar: Koleksi mendiang Kwa Geok Choo)

(Gambar: Koleksi mendiang Kwa Geok Choo/Facebook Lee Hsien Loong)

MENDIANG TERPUKUL DENGAN PEMERGIAN ISTERI

"Ibu saya membentuk sebahagian besar daripada kehidupan beliau. Mereka saling menyayangi antara satu sama lain. Beliaulah isteri dan tempat mengadu mendiang - dan iringi beliau ke mana sahaja, membantu menulis ucapan-ucapannya...

"Apabila ibu saya meninggal dunia, beliau begitu terpukul dengan pemergiannya. Kehilangan seorang teman hidup, yang katanya, sebati dengan jiwa raganya, menjadi satu tamparan yang cukup hebat bagi beliau," ujar PM Lee.

PM Lee berkata, mendiang Encik Lee menyerahkan sebahagian besar tugas membesarkan anak-anak kepada isterinya.

"Beliau ketua keluarga, dan amat prihatin dengan kami, sejak kami masih kecil lagi, hingga kami meningkat dewasa. Beliau bukan seorang yang menunjukkan kasih sayangnya secara terbuka, tapi tetap menyayangi kami dengan sepenuh hati."

"BAPA CADANG SAYA BERMEDITASI SELEPAS PEMERGIAN ISTERI"

PM Lee menceritakan selepas isteri pertamanya, Ming Yang, meninggal dunia, kedua ibu bapanya mencadangkan beliau cuba bermeditasi.

"Saya fikir bapa saya juga cuba melakukannya, tetapi tidak begitu berjaya berbuat demikan.

"Apabila guru bapa saya gesa beliau agar menenangkan fikirannya, beliau berkata: "Tapi apa pula yang akan berlaku kepada Singapura nanti?"

PM Lee menambah apabila beliau menghidapi limfoma, Encik Lee mencadangkan beliau cuba bermeditasi dengan lebih gigih, kerana ia mungkin dapat membantu beliau menguruskan penyakitnya itu dengan lebih baik. Bapanya juga mendapatkan seorang guru untuk membimbingnya bermeditasi.

"Pagi ini (semalam), sebelum upacara (pengusungan jenazah) bermula di Bangunan Parlimen, kami ada beberapa minit. Saya duduk bersebelahan dengan beliau, dan bermeditasi," ujarnya.

PM Lee juga menceritakan kenangannya semasa malam pilihan raya pada 1960an, ketika PAP menewaskan parti pro-komunis, Barisan Sosialis.

"Ibu saya meminta saya tidur awal, tetapi saya tidak mahu tidur, terus terjaga untuk mendapat tahu keputusan pilihan raya, hingga PAP menang jumlah kerusi undi yang cukup untuk membentuk pemerintah. Barulah saya tertidur."

NASIHAT MENDIANG LEE: JAGA IBU, ADIK-ADIK

Kata-kata mendiang Encik Lee kepada PM Lee supaya menjaga ibu dan adik-adiknya, akan terus terpahat dalam ingatannya.

"Saya masih ingat lagi, semasa kami bermain golf di Istana, bapa saya berkata jika apa-apa berlaku kepada beliau, beliau mahu saya menjaga ibu, dan kedua-dua adik saya."

KENANGAN SEBELUM S'PURA BERPISAH DARI MALAYSIA

PM Lee juga menceritakan tentang malam 7 Ogos 1965, iaitu dua hari sebelum Singapura berpisah daripada Malaysia.

Pada malam itu, PM Lee dan adik-adiknya tidur di lantai di bilik tidur ibu bapa mereka di Temasek House di Kuala Lumpur, kerana rumah mereka ketika itu dipenuhi para menteri yang datang dari Singapura.

"Bapa saya kerap terjaga daripada tidurnya untuk menulis nota, dan berehat semula. Tetapi ternyata, beliau masih belum terlena.

"Membesar bersama bapa saya, membuat saya teguh dalam pendirian saya sehingga ke hari ini." 

Saksikan lebih banyak video ucapan belasungkawa dan dokumentari khas mengenai mendiang Encik Lee Kuan Yew di wadah eksklusif kami.

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan