Images
  • vaccine
    (Gambar: Ted Aljibe/ AFP)  

S'pura keluarkan nasihat mengenai vaksin denggi Dengvaxia

SINGAPURA: Pakar penjagaan kesihatan di Singapura dinasihati agar tidak memberi vaksin cegah denggi kepada pesakit yang belum pernah dijangkiti virus tersebut.

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) memberitahu Mediacorp hari ini (6 Dis) bahawa ia sudah memaklumkan para doktor mengenai dapatan terbaru mengenai Dengvaxia.

Vaksin itu dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal gergasi Perancis, Sanofi Pasteur.

Menurut Sanofi, satu analisis baru berdasarkan data ujian klinikal selama enam tahun menunjukkan Dengvaxia berpotensi memburukkan lagi gejala-gejala denggi bagi mereka yang tidak pernah dijangkiti denggi.

Analisis itu "mengesahkan bahawa Dengvaxia memberi perlindungan berterusan terhadap demam denggi bagi mereka yang pernah mengalami jangkitan itu", demikian menurut laporan.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang tidak pernah dijangkiti virus itu sebelum ini, analisis tersebut mendapati bahawa "dalam jangka masa panjang, lebih banyak kes-kes penyakit yang teruk boleh berlaku," tambahnya.

DENGVAXIA DILULUSKAN DI S'PURA PADA 2016

Dengvaxia pada mulanya diluluskan di negara-negara termasuk Indonesia dan Filipina, serta Singapura pada Oktober tahun lepas.

Dalam kenyataannya, HSA menyatakan bahawa hasil dapatan Sanofi "mengesahkan" penilaiannya pada tahun 2016 mengenai "risiko jangkitan demam denggi yang lebih tinggi" berikutan memberi vaksin vaksin itu kepada mereka yang sebelum ini belum dijangkiti virus tersebut.

Pada masa itu, HSA mengesyorkan para individu yang ingin mendapatkan vaksin untuk terlebih dahulu berunding dengan doktor mereka mengenai manfaat dan risikonya. HSA juga berkongsi maklumat ini dengan para profesional penjagaan kesihatan, media, serta orang ramai.

Di samping itu, ia juga bekerjasama dengan kementerian kesihatan untuk menawarkan ujian serologi, yang dapat mengenal pasti jangkitan denggi sebelumnya, di Singapura.

Filipina sudah mengarahkan dihentikan penjualan, pengedaran dan pemasaran Dengvaxia, beberapa hari selepas pemerintah menggantung program suntikan vaksin itu bagi beratus-ratus ribu kanak-kanak di negara itu.

"Di Singapura, vaksin denggi bukan sebahagian daripada program imunisasi negara. Vaksin hanya diberikan kepada individu di mana manfaat melebihi risiko," demikian menurut HSA.

Tambahnya, HSA akan "mengukuhkan lagi amaran dan saranan dalam maklumat preskripsi" bagi memastikan penggunaan vaksin Sanofi selamat. 

- CNA/AQ/aq

Top