Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura bandar ke-21 paling mahal di dunia bagi ekspatriat

Singapura kekal di luar senarai 20 bandar paling mahal di dunia bagi golongan ekspatriat, menurut tinjauan kos sara hidup terbaru, ECA International.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura bandar ke-21 paling mahal di dunia bagi ekspatriat

Gambar fail: Diane Leow

Diterbitkan : 12 Dec 2017 06:46PM Dikemas Kini : 12 Dec 2017 06:49PM

SINGAPURA: Singapura kekal di luar senarai 20 bandar paling mahal di dunia bagi golongan ekspatriat, menurut tinjauan kos sara hidup terbaru, ECA International.

Dalam kenyataan media pada Selasa (12 Dis), Singapura tersenarai di tangga ke-21 bagi bandar paling mahal di dunia dan ke-9 termahal di Asia Pasifik bagi ekspatriat, dedah tinjauan tersebut.

Dalam tinjauan sama yang diterbitkan pada bulan Jun, Singapura menduduki tangga ke-24 bagi bandar paling mahal di dunia dan ke-10 di Asia Pasifik. Ia mendapat tempat ke-16 paling mahal di dunia dan ke-9 di Asia Pasifik pada bulan Disember lalu.

"Mata wang Eropah sangat kukuh sejak 12 bulan lalu, mengatasi banyak mata wang lain di dunia - termasuk dolar Singapura," menurut pengarah serantau ECA International bagi Asia, Lee Quane.

"Ini menyebabkan ranking Singapura merosot sedikit, dengan beberapa bandar Eropah yang lebih mahal menduduki tangga lebih tinggi dalam senarai tersebut," katanya.

ECA International menyatakan bandar-bandar Asia kini mendahului senarai bandar-bandar paling mahal untuk didiami dengan lebih separuh daripada 50 tempat paling mahal yang ditinjau tahun ini terletak di Asia.

Sejumlah 26 daripada 50 bandar itu merupakan bandar di Asia, dengan 14 bandar di China dimasukkan ke dalam senarai itu berbanding empat bandar di Kesatuan Eropah dan tiga dari Amerika Syarikat.

Tokyo kekal sebagai bandar paling mahal di rantau ini bagi ekspatriat, disusuli Hong Kong dan Seoul.

Ibu kota Angola, Luanda, pula kekal sebagai bandar paling mahal di dunia, manakala Khartoum di Sudan naik 19 tangga untuk menduduki tangga kedua di dunia dan Zurich kekal menduduki tempat ketiga, bandar termahal di dunia.

ECA International menyatakan tinjauan dwitahunan itu membantu syarikat menghitung elaun kos sara hidup supaya kuasa perbelanjaan kakitangan mereka tidak terjejas semasa melakukan tugasan antarabangsa.

Tinjauan itu membandingkan harga barangan dan khidmat di 470 bandar di merata dunia. Ia tidak termasuk kos penginapan dan yuran sekolah, yang biasanya dibiayai elaun berasingan. 

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan