Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Ruang-ruang selamat' perlu diwujudkan untuk bincang isu antara agama

Masyarakat tempatan perlu mewujudkan "ruang-ruang selamat" di mana para penganut agama berbeza-beza dapat berdialog dan menghuraikan sebarang keraguan yang ada.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masyarakat tempatan perlu mewujudkan "ruang-ruang selamat" di mana para penganut agama berbeza-beza dapat berdialog dan menghuraikan sebarang keraguan yang ada.

Pada akhirnya, ia diharap membolehkan masyarakat pelbagai kaum dan agama mempunyai kerjasama lebih mendalam.

Idea itu disuarakan para pemimpin agama Islam, Kristian dan Buddha dalam satu seminar antara agama, anjuran Pusat bagi Kajian Ehwal Islam dan Melayu (RIMA), siang tadi.

Walaupun Singapura tidak menyaksikan sebarang konflik keagamaan yang besar sejak 50 tahun lalu, keamanan yang dikecapinya sejauh ini tidak boleh diambil mudah.

Ini kerana perkembangan ideologi pelampau di peringkat serantau dan global, seperti serangan 11 September dan ancaman kumpulan pengganas ISIS sekarang ini, terus menjadi duri dalam daging dalam masyarakat.

Lantaran itu, RIMA menyatakan, ruang-ruang dialog perlu diwujudkan antara masyarakat pelbagai agama untuk membina semangat ukhuwah - bukan setakat bersikap toleransi sahaja.

Ini khususnya perlu dipupuk di kalangan anak-anak muda, demi memastikan kesejahteraan Singapura.

Seorang penceramah yang diundang dalam seminar itu, Ustaz Muhammad Fazalee Ja'afar, ketua Pusat Harmoni di Masjid An-Nahdhah, berkata: "Masyarakat kita merupakan masyarakat yang berbilang bangsa, dan untuk meneruskan dan memastikan kehidupan secara aman dan secara sejahtera, kita perlu mengenal antara yang satu dengan yang lain.

"Dan ini memerlukan 'safe space' ataupun ruang-ruang yang selamat untuk kita sama-sama dapat berbincang dan berdialog untuk mengenal antara satu dengan yang lain."

Paderi Malcolm Tan, pastor bertanggungjawab bagi Gereja Methodist Covenant Community, pula berkata: "Saya percaya, agama boleh mendatangkan kebaikan atau ia juga boleh menimbulkan keburukan.

"Saya rasa sebahagian besarnya bergantung kepada ajaran masyarakat keagamaan, dan juga sikap yang dianjurkan dalam masyarakat tersebut.

"Saya percaya, agama mesti menyumbang kepada kesejahteraan umum. Saya percaya, agama harus menggalak manusia untuk hidup secara aman antara satu sama lain. Walaupun kita mungkin tidak berpegang kepada pandangan yang sama, kita masih boleh hidup secara aman dan saling menghormati."

Itulah yang diharap dapat dipupuk menerusi seminar hari ini, yang membincangkan tema 'Peranan Positif Agama dalam Membina Keharmonian'.

Khalayak sasaran dialog tersebut ialah belia berbilang agama berusia antara 18 hingga 35 tahun.

Seorang peserta seminar berkenaan, Wan Muhammad Fazlan Nordin, mahasiswa NUS tahun 2, berkata: "Antara isu-isu yang kita bincangkan tadi ialah perbezaan-perbezaan yang berbeza antara agama-agama yang ada di Singapura, tapi di samping itu kita juga ada persamaan dari segi nilai-nilai murni yang boleh kita gunakan untuk bekerjasama tidak kira bangsa dan agama."

Lebih 50 peserta seminar itu juga membincangkan secara terus terang, apakah agama menjadi sumber konflik dan tahap hubungan antara agama di negara ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan