Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

RAM Rating: S'pura bersedia untuk pemulihan ekonomi tahun ini

Ekonomi Singapura kini sedang mengalami pemulihan, dipacu oleh prestasi mantap sektor pengilangan, kata RAM Rating Services Bhd.

Anggaran Waktu Membaca:
RAM Rating: S'pura bersedia untuk pemulihan ekonomi tahun ini

Latar langit Marina Bay di Singapura. (Gambar fail: REUTERS/Edgar Su)

Diterbitkan : 13 Nov 2017 11:02PM Dikemas Kini : 13 Nov 2017 11:06PM

SINGAPURA: Ekonomi Singapura kini sedang mengalami pemulihan, dipacu oleh prestasi mantap sektor pengilangan, kata RAM Rating Services Bhd.

Dalam satu kenyataan hari ini, agensi penarafan itu berkata, ia menjangka pemulihan secara beransur-ansur dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun ini, dengan pertumbuhan antara 2.5 hingga tiga peratus.

Ekonomi Singapura tumbuh 4.6 peratus pada suku ketiga 2017, selepas pertumbuhan lembap selama dua tahun (2016: 2.0 peratus; 2015: 1.9 peratus), katanya.

Ketua Penarafan Negara RAM, Esther Lai berkata, peningkatan permintaan global membantu pengembangan dalam sektor pengeluaran elektronik dan merangsang pertumbuhan KDNK keseluruhannya.

RAM berkata, Indeks Pengurus Belian untuk pembuatan elektronik menunjukkan bacaan 53.6 pada September 2017 – yang tertinggi dicatat sejak Julai 2010 dan kenaikan bulan ke-14 berturut-turut.

“Bagaimanapun, kami menjangka momentum dalam sektor itu berkurangan apabila tempahan simpanan semula inventori  telah dipenuhi," kata Cik Lai.

Agensi itu berkata, sektor pembuatan yang cergas disokong oleh kadar produktiviti yang meningkat.

Menurut RAM, pemerintah Singapura sudahpun memulakan program transformasi ekonomi pada 2010 yang memberi tumpuan kepada merangsang daya penghasilan melalui peningkatan teknologi dan inovasi, dengan pelbagai skim seperti kredit daya penghasilan dan inovasi serta dasar buruh asing yang lebih ketat.

Usaha tersebut sudahpun mula menunjukkan hasil pada suku keempat 2016, dengan pertumbuhan produktiviti meningkat selepas satu tempoh kemerosotan, kata agensi penarafan tersebut.

Kegiatan ekonomi dalam sektor lain juga menunjukkkan tanda-tanda tidak sekata, katanya dengan menambah, tekanan masih dilihat dalam sektor marin, kejuruteraan luar pesisir dan pembinaan.

“Selain itu, kami kekal berhati-hati terhadap pasaran buruh yang lemah ketika penggunaan swasta yang lembap (suku kedua 2017: 0.1 peratus),” kata Cik Lai.

Bagaimanapun, agensi itu menyatakan, pemulihan yang rapuh dalam momentum pertumbuhan, di tengah-tengah tekanan inflasi yang rendah, adalah jelas dalam keputusan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura pada 13 Oktober 2017 untuk mengekalkan dasar yang tidak berubah.

Penarafan ‘gAAA(pi)/Stabil/gP1(pi)’ dan ‘seaAAA(pi)/Stabil/seaP1(pi)’ Singapura terus disokong kedudukan luaran yang cergas, kedudukan kewangan yang lebih baik dan kualiti institusi yang terpuji, dilihat dalam rumusan pelbagai dasar dan langkah kerajan yang berkesan yang memastikan kestabilan makroekonomi dan keyakinan pelabur yang kukuh, katanya.

Pihak Berkuasa Kewangan Singapura mengunjurkan KDNK Singapura berkembang antara 2.0 hingga 3.0 peratus tahun ini.

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan