Images
  • hawker centre
    Gambar fail pusat penjaja makanan. (Gambar: Eileen Poh)

Rakyat S'pura masih belum puas hati dengan tahap kebersihan pusat penjaja

SINGAPURA: Adakah anda kurang senang dengan tahap kebersihan di pusat penjaja pada waktu makan tengah hari? Kalau anda kurang berpuas hati dengan kebersihan di pusat penjaja, anda merupakan antara 30 peratus dalam kalangan penduduk Singapura yang mempunyai pandangan yang sama.

Menurut satu tinjauan yang menilai kepuasan orang awam, hanya 69 peratus responden yang berpuas hati dengan tahap kebersihan di tempat berkenaan. Jumlah ini lebih kecil berbanding perangkaan bagi mereka yang berpuas hati dengan tahap kebersihan di stesen MRT, kolong blok HDB dan di laluan pejalan kaki.

Menurut Dr Mathew Mathews, seorang penyelidik kanan di Institut Pengajian Dasar, perkara yang paling tidak disenangi orang ramai adalah apabila pengunjung meninggalkan sisa makanan mereka di tempat makan. Ini dibentangkan di satu taklimat media yang diadakan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) hari ini (11 Okt).

Pengunjung ke tempat makan seperti ini juga rata-rata tidak berpuas hati dengan khidmat pembersihan, dengan hanya sekitar 50 peratus daripada 2,000 responden yang berpuas hati dengan ketelitian dan kekerapan khidmat itu.

Pada masa yang sama, hanya segelintir (35 peratus) yang didapati sering membersihkan meja makan mereka.

Dr Mathews menjalankan tinjauan tersebut bersama profesor sosiologi SMU, Paulin Straughan, dengan dana yang dibiayai Kementerian Sekitaran dan Sumber Air.

Ruang-ruang pengangkutan seperti jalan raya, perhentian bas dan stesen MRT mendapat maklum balas positif tertinggi, dengan 93 peratus responden mempunyai pandangan yang sama. Sementara itu, tahap kepuasan orang awam bagi tempat acara awam seperti Perbarisan Hari Kebangsaan dan maraton, mendapat perangkaan terendah.  

- CNA/AQ/aq

Top