Images
  • shanmugam
    Tan Jin Hsi Gabriel (kanan) menerima biasiswa SPF daripada Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Undang-Undang K Shanmugam (kiri) di Istana. (Gambar: Wee Teck Hian/TODAY)

Pucuk kepimpinan kukuh penting bagi transformasi Home Team, tegas Shanmugam

SINGAPURA: Pucuk kepimpinan yang kukuh adalah penting bagi perubahan Home Team sedang ia mula meningkatkan penggunaan teknologi dan menyepadukan operasinya untuk menghadapi cabaran, menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Jumaat (11 Ogos).

Berucap di majlis anugerah Biasiswa Pasukan Polis Singapura dan Biasiswa Home Team yang diadakan di Istana, Encik Shanmugam berkata biasiswa baru, seperti Sains dan Teknologi Home Team dan Biasiswa Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha bagi melabur ke dalam pembangunan para pemimpin.

Program baru 'Pemimpin Pembangunan' Home Team turut diperkenalkan bulan lalu untuk mengenal pasti awal bakat muda, membangunkan dan mendidik mereka untuk menerajui Home Team, dedahnya.

Encik Shanmugam, yang juga Menteri Undang-Undang, merujuk kepada beberapa cabaran yang dihadapi Home Team. Di peringkat global, terdapat serangan pengganas di merata dunia, termasuk rantau ini, manakala Internet juga menjadikannya lebih mudah untuk melakukan jenayah siber.

Di pelbagai pelusuk dunia, mereka yang memiliki sikap liberal terhadap penggunaan dadah juga cuba mempengaruhi nilai mereka ke atas rakyat Singapura, tetapi Singapura menyatakan "tidak" dengan jelas, menurut beliau.

Di peringkat domestik pula, Singapura menghadapi kekurangan tenaga kerja disebabkan kadar kelahiran yang kian merosot.

Dengan bermulanya perubahan untuk terus menghadapi cabaran, Encik Shanmugam berkata Home Team sedang meningkatkan penggunaan teknologi secara bertahap-tahap untuk membanteras jenayah dengan lebih berkesan, melindungi sempadan dan menyelamatkan nyawa. Sebagai contoh, pihak berkuasa sedang memanfaatkan kenderaan udara, darat dan laut dalam operasinya.

Selain itu, operasi Home Team akan disepadukan bagi semua jabatan. Ini termasuk menubuhkan Pusat Operasi Home Team untuk menyatukan rangkaian seluruh negara bagi sensor dan kamera untuk gambaran keadaan lebih komprehensif di seluruh Singapura dan menyelaraskan tindakan dengan berkesan.

Sumber yang banyak juga akan dilaburkan bagi melatih, melatih semula dan meningkatkan kemahiran para pegawai sedang Home Team bergerak ke arah model operasi baru.

Secara khususnya, pucuk kepimpinan yang kukuh adalah "penting bagi perubahan ini," dedahnya.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) sedang membuat pelaburan besar dalam membangunkan para pemimpin bagi semua peringkat.

Sebagai tambahan kepada program baru Pemimpin Pembangunan Home Team, juga terdapat Pusat Home Team bagi Kepimpinan yang ditubuhkan pada bulan Julai tahun lalu. Pusat tersebut mempunyai beberapa program pembangunan pucuk kepimpinan bagi penyelia muda hingga ke pangkat pucuk kepimpinan kanan.

Kementerian tersebut juga mahu mengambil khidmat pegawai yang terbaik dan paling cemerlang serta melatih mereka dengan baik, kata Encik Shanmugam.

Antara 19 individu yang menerima biasiswa Home Team pada Jumaat adalah Encik Gabriel Tan Jin Hsi, 19, satu-satunya penerima bagi Biasiswa Pasukan Polis Singapura, iaitu biasiswa tertinggi yang ditawarkan MHA. 

- TODAY/IM/im

Top