Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Proses lebih singkat, mudah bagi urus niaga flat jualan semula mulai 1 Jan 2018

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan melancarkan sebuah portal baru bagi mengurangkan tempoh urus niaga melibatkan jual beli flat, demikian diumumkan lembaga itu hari ini (19 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Oct 2017 02:51PM Dikemas Kini : 20 Oct 2017 09:07PM

SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan melancarkan sebuah portal baru bagi mengurangkan tempoh urus niaga melibatkan jual beli flat, demikian diumumkan lembaga itu hari ini (19 Okt).

Portal Jualan Semula HDB itu akan dilancarkan pada Januari tahun depan bagi memproses permohonan baru bagi flat jualan semula. Ia bertujuan untuk menyingkatkan masa yang diperlukan bagi memuktamadkan urus niaga melibatkan flat jualan semula sehingga hampir separuh daripada 16 minggu yang diperlukan buat masa ini.

Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong sebelum ini mengumumkan dalam perbahasan Jawatankuasa Peruntukan pada tahun ini bahawa kementeriannya akan memanfaatkan teknologi untuk memperhalusi proses urus niaga flat jualan semula.

HANYA SATU JANJI TEMU SAJA DI BAWAH PROSES BARU INI

Buat masa ini, urus niaga flat jualan semula memerlukan dua janji temu dengan HDB. Janji temu yang pertama adalah untuk menentukan hasil penjualan si penjual flat dan meneliti pelan kewangan si pembeli, sementara janji temu kedua adalah untuk penjual dan pembeli memuktamadkan urus niaga jual beli dan menandatangani dokumen-dokumen yang relevan.

Sebelum janji temu pertama diadakan, pembeli flat jualan semula dan penjualnya dikehendaki mematuhi dan menamatkan senarai semakan sebelum memutuskan sama ada untuk menjual atau membeli flat berkenaan.

Senarai semakan itu merangkumi satu bahagian tentang perancangan kewangan. Penjual dan pembeli kemudian harus menggunakan khidmat online yang disediakan di laman HDB untuk mematuhi dan memenuhi senarai semakan lain seperti kelayakan seseorang untuk membeli atau menjual flat dan quota kaum bagi sesebuah blok atau kejiranan.

Portal baru itu akan menyepadukan semua pemeriksaan kelayakan di bawah satu platform saja yang bertujuan untuk memudahkan penggunaan orang ramai, menurut HDB.

Sebagai contoh, sebaik sahaja pembeli atau penjual mendaftarkan rancangan untuk membeli atau menjual flat masing-masing di portal itu, maklumat peribadi daripada SingPass mereka akan digunakan untuk mengisi borang permohonan, sekaligus mengurangkan keperluan untuk mengisi borang tersebut secara manual.

Semua pemeriksaan kelayakan juga akan disepadukan di platform yang sama. Ini diharap dapat mengurangkan keperluan para pembeli dan penjual untuk mengakses pelbagai pautan di laman HDB untuk melakukan pemeriksaan yang diperlukan.

Portal itu juga boleh diubah suai mengikut keperluan individu yang menggunakannya dan akan menunjukkan sama ada individu itu layak membeli atau menjual flat dan juga kelayakan individu berkenaan untuk mendapatkan geran perumahan ataupun pinjaman konsesi.

Jika pembeli ingin menggunakan wang CPF atau merancang untuk mengambil pinjaman rumah untuk membeli flat, mereka juga boleh menggunakan portal itu untuk membuat permohonan kepada HDB bagi mengesahkan nilai flat mereka supaya dapat menentukan jumlah CPF yang boleh digunakan untuk mendapatkan pinjaman bagi pembelian sesebuah flat.

Bagaimanapun, di bawah proses yang diperhalusi itu, sesetengah kes mungin tidak memerlukan penilaian kerana ia boleh menggunakan teknologi dan data urus niaga bagi menentukan harga jual beli yang sesuai.

Ini, menurut HDB, akan membantu mempercepatkan proses urus niaga flat jualan semula. Sungguhpun demikian, jika penilaian benar-benar diperlukan, HDB akan mengaturkannya.

Yuran S$120 bagi proses itu akan dikenakan bagi menampung kos penilaian tersebut dan yuran itu tetap akan dikenakan terhadap semua pembeli, tanpa mengira sama ada penilaian diperlukan ataupun tidak.

Di bawah proses yang diperhalusi itu, pembeli dan penjual hanya perlu menghadiri satu janji temu dengan HDB bagi menandatangani secara peribadi dokumen-dokumen relevan.

Menurut HDB, jika pembeli dan penjual menyerahkan dokumen-dokumen itu dengan betul, tempoh bagi seluruh proses urus niaga - dari tempoh menyerahkan borang kepada tamat proses permohonan bagi flat jualan semula - boleh disingkatkan sehingga lapan minggu saja.

Proses jualan semula yang diperkemas itu melibatkan permohonan di mana Pilihan Untuk Membeli (OTP) diberikan oleh penjual pada atau selepas 1 Jan 2018.

Permohonan jualan semula dengan OTP yang diluluskan sebelum 1 Jan 2018, akan terus diproses di bawah prosedur yang dikuatkuasakan sekarang.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan