Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program kongsi kereta elektrik BlueSG dirasmikan dengan 80 kereta

Seramai 2,000 pengguna mendaftar bagi menyewa kereta BlueSG sejak pendaftaran dibuka pada Isnin lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 2,000 pengguna mendaftar bagi menyewa kereta BlueSG sejak pendaftaran dibuka pada Isnin lalu.

Prasarana yang disediakan anak syarikat konglomerat Perancis Bollore Group, BlueSG, itu mempunyai skim perkongsian yang sama di Paris.

Hari ini, program kongsi kereta elektrik besar-besaran pertamadi Singapura itu dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan, dalam satu majlis di Singapore Flyer.

Sejajar dengan rancangan Singapura mewujudkan sekitaran mesra alam, khidmat kongsi kereta elektrik tersebut bertujuan menggalak orang ramai menggunakan pengangkutan awam sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan peribadi.

Sebanyak 80 kereta dan 32 stesen mengecas disediakan bagi orang awam yang menawarkan 120 pusat mengecas.

Yang nyata, sambutannya cukup memberangsangkan.

Sejak pendaftaran dibuka 4 Disember lalu, seramai 2,000 orang menyatakan minat untuk menyewa kereta BlueSG.

Pengguna boleh memilih dua pelan langganan.

Bagi langganan bulanan, pengguna perlu bayar yuran $15, dan 33 sen setiap minit ia digunakan.

Sebuah lagi pelan tidak mengenakan bayaran bulanan. Bagaimanapun bayarannya 50 sen seminit.

Menerusi laman web ataupun aplikasi mudah alih BlueSG, para pengguna harus menetapkan stesen untuk mengambil dan mengembalikan kereta yang ditempah.

Seandainya anda mempunyai sebarang pertanyaan atau kecemasan ketika memandu, hubungi sahaja pusat talian BlueSG yang beroperasi 24 jam setiap hari untuk bercakap dengan pegawai khidmat pelanggan mereka.

Dengan pelancaran rasmi itu, Singapura menjadi penyedia khidmat perkongsian kenderaan elektrik kedua terbesar di dunia selepas Paris, yang mempunyai lebih 4,000 kereta.

BlueSG berharap untuk melancarkan 110 kereta elektrik dan 42 stesen dengan 165 tempat mengecas di merata Singapura menjelang hujung tahun ini.

Sasarannya buat tiga tahun akan datang adalah untuk menyediakan 1,000 kereta dan 2,000 tempat mengecas. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan