Images
  • Rahayu
    Presiden PPIS, Rahayu Mohamad. (Gambar: MUIS)

Presiden PPIS: "Halimah Yacob buktikan tiada batas pada pencapaian wanita"

SINGAPURA: Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) mengucapkan tahniah kepada penaungnya Cik Halimah Yacob hari ini (13 Sep).

Ini selepas beliau diisytiharkan sebagai Presiden wanita pertama negara ini dan sekaligus sebagai Presiden ke-8 Singapura tengah hari tadi.

Dalam kenyataan medianya, Presiden PPIS Cik Rahayu Mohamad berkata," Cik Halimah sudah menunjukkan kepada kita bahawa tiada had kepada apa yang dapat kita capai, sebagai wanita.

"Kita boleh bercita-cita untuk melakukan perkara hebat asalkan terdapat keinginan untuk bekerja keras dan kekal fokus dengan pendirian kita. Sebagai wanita, kita harus terus melaburkan kehidupan kita untuk mencari apa yang kita mampu lakukan."

PPIS turut memberi penghargaan kepada Cik Halimah atas sumbangannya dalam perkhidmatan awam selama 40 tahun.

Ini termasuk kerja-kerja yang dilakukan di kesatuan sekerja, interaksi dengan pemimpin akar umbi dan dampingan aktifnya dengan pertubuhan masyarakat yang sudahpun "membentuknya menjadi seorang pemimpin yang mempunyai hubungan baik dengan masyarakat yang diwakilinya".

"Sebagai penaung PPIS selama 13 tahun, Cik Halimah sering mendampingi anggotanya dalam dialog yang bermakna dan memberikan nasihat bernas bagi menyokong misi kami, "Memberi Wanita Inspirasi. Memperkukuh Keluarga." dedahnya dalam kenyataan media.

Menurut PPIS, peletakan jawatan Cik Halimah sebagai Speaker Parlimen, Anggota Parlimen dan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat Parti Tindakan Rakyat adalah satu "kehilangan" bagi pewakilan wanita dalam Parlimen.

Namun, pertubuhan tersebut yakin akan kebolehannya sebagai Presiden wanita pertama Singapura.

"Cik Halimah akan terus menjadi inspirasi kepada wanita-wanita Singapura, terutama sekali pemimpin masa depan kita, yang akan terdorong untuk menghadapi cabaran baru, mendakapi peranan pucuk kepimpinan dan menyumbang kepada pembangunan negara," menurut PPIS. 

- BERITAMediacorp/im

Top