Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

POPULAR perkenal buku Melayu di 7 cawangan tahun depan

Selepas lebih 90 tahun dalam industri penjualan buku-buku Cina dan kemudiannya Inggeris, kedai buku POPULAR kini mahu membuat kehadiran lebih ketara dalam penjualan buku-buku bahasa Melayu pula.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selepas lebih 90 tahun dalam industri penjualan buku-buku Cina dan kemudiannya Inggeris, kedai buku POPULAR kini mahu membuat kehadiran lebih ketara dalam penjualan buku-buku bahasa Melayu pula.

Menjelang pertengahan tahun depan, POPULAR akan mengedarkan buku-buku bahasa Melayu di tujuh cawangannya di serata negara.

Ini bermakna, lagi tiga cawangannya akan menjual buku-buku Melayu iaitu di pusat beli-belah Tampines Mall, Lot 1 dan Northpoint, selain daripada empat cawangan yang sudahpun berbuat demikian tahun ini.

POPULAR yang juga merupakan gedung menjual alat tulis menyatakan, langkah tersebut merupakan sebagain usaha untuk menggalak kedwibahasaan di kalangan para pembaca.

Ia kini mempunyai koleksi buku Melayu di empat cawangannya, iaitu One KM Mall, Bedok Mall, Causeway Point dan Jurong Point.

SUDAH 'POPULAR', TAPI MAHU LUASKAN JANGKAUAN PASARAN

POPULAR sebenarnya hanya mula menawarkan buku berbahasa Melayu lebih dua tahun lalu, menerusi buku masakan Chef Wan.

Sekarang ini, mempunyai sekitar 700 tajuk buku Melayu merangkumi genre masakan, novel, agama dan kanak-kanak di empat cawangannya di One KM, Bedok Mall, Causeway Point dan Jurong Point.

Selain menambah cawangan yang mengedarkan buku-buku bahasa Melayu, POPULAR juga akan menambah lebih banyak tajuk buku Melayu, terutama bagi genre masakan dan novel.

Menurut POPULAR, sambutan yang menggalakkan dari para pembeli Melayu yang mendorong kedai buku itu untuk meluaskan jangkauannya dalam pasaran Melayu.

JUALAN BUKU MELAYU NAIK 23%

Tahun ini sahaja, ia menyaksikan peningkatan 23% penjualan buku bahasa Melayu berbanding tahun lalu.

Perincian itu didedahkan di acara pelancaran POPULAR Bookfest@Singapore pagi tadi yang dirasmikan Menteri Perhubungan dan Penerangan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

Dalam ucapannya Dr Yaacob berharap dengan langkah POPULAR menambah bahan bacaan dalam bahasa Ibunda, lebih ramai pembaca akan memupuk minat membaca buku-buku dalam bahasa Ibunda mereka.

"Saya juga gembira bahawa memandang ke hadapan, POPULAR akan meluaskan sayapnya dalam sektor buku-buku Melayu. Menerusi usaha sebegini, kami berharap lebih ramai akan meneroka menjangkaui buku-buku bahasa Inggeris dan memupuk minat dalam bahasa Ibunda mereka sendiri. Siapa tahu anda mungkin berminat untuk mempelajari bahasa ketiga dan budayanya." kata Dr Yaacob.

Beliau juga mahu menggalak agar lebih banyak penerbit dan kedai buku menyumbang kepada matlamat mewujudkan budaya membaca yang aktif di Singapura.

Buku-buku Melayu di acara BookFest 2016. (Gambar-gambar: Nity Farhana)

POPULAR BOOKFEST 2016 TAWAR AKTIVITI MESRA KELUARGA & PELBAGAI PRODUK

Tahun ini, acara Bookfest yang merupakan acara buku dan alat tulis terbesar dari segi saiz yakni seluas 130,000 kaki persegi di Suntec Convention Hall menampilkan lebih banyak jenis barangan.

Ini termasuk produk perkakas elektrik, kanak-kanak dan makanan.

Buat pertama kalinya juga, POPULAR Bookfest@Singapore menyediakan pelbagai acara untuk dinikmati seisi keluarga termasuk acara memasak.

Pada acara Bookfest tahun hadapan, POPULAR juga berhasrat untuk menyediakan lebih banyak aktiviti dalam bahasa Melayu termasuk Pertandingan Membaca Secara Kreatif Melayu Kebangsaan.

Ini merupakan tahun ke-10 acara POPULAR Bookfest@Singapore diadakan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan