Images
  • cyrille tan
    Encik Cyrille Tan. (Gambar: NTUC)

PM Lee utus takziah atas pemergian tokoh kesatuan Cyrille Tan

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong memberi penghormatan kepada tokoh kesatuan, Encik Cyrille Tan dalam ucapan takziahnya kepada isteri mendiang, Joanna.

Encik Tan meninggal dunia pada 10 November pada usia 67 tahun.

Dalam kawat takziahnya yang bertarikh 13 Nov, PM Lee turut menarik perhatian bahawa mantan Anggota Parlimen Dilantik itu mengabdikan seluruh jiwa raganya kepada gerakan buruh dan negara.

Encik Tan yang memulakan kerjayanya sebagai anggota kesatuan pada 1981 berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Industri Elektronik dan Elektrik (UWEEI) selama 22 tahun.

Mendiang juga dilantik untuk berkhidmat dalam Jawatankuasa Pusat Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) sebagai setiausaha ehwal kewangan dan kemudian sebagai naib presiden.

PM Lee yang menjadi penasihat UWEEI ketika itu berkata: "Saya banyak belajar dengan memerhatikan cara beliau menguruskan ehwal kesatuan dengan bijak. UWEEI bukan sebuah pertubuhan yang mudah diuruskan. Ia mempunyai 125 cawangan dan mewakili para pekerja dalam industri yang mudah terdedah kepada pasang surut ekonomi.

"Namun, para anggota kesatuan yakin bahawa beliau berupaya melindungi dan mengutamakan kepentingan mereka. Oleh itu, beliau mampu memimpin UWEEI mengharungi tempoh yang mencabar, termasuk krisis kewangan Asia pada 1988."

Sebagai Anggota Parlimen Dilantik dari 1997 hingga 1999, beliau terus memperjuangkan gerakan buruh dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membantu kesatuan-kesatuan mengembangkan perwakilannya sehingga merangkumi para pengurus dan pegawai eksekutif, tambah PM Lee.

"Cyrille menyentuh kehidupan ramaii orang dan meninggalkan warisan sebagai seorang tokoh kesatuan dan rakan perikatan tiga pihak. Pemergiannya satu kehilangan besar bagi gerakan buruh dan Singapura." 

- CNA/SM/sm

Top