Images
  • PM Lee (3)
    Gambar Fail Perdana Menteri Lee Hsien Loong. (Gambar: CNA / Xabryna Kek)

PM Lee ucap tahniah; yakin Halimah Yacob dapat berkhidmat dengan cemerlang

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengucapkan tahniah kepada bakal Presiden, Halimah Yacob, dan yakin beliau akan dapat berkhidmat dengan cemerlang.

Beliau berkata demikian menerusi catatan di laman Facebooknya hari ini (13 Sep) setelah menghubungi bakal Presiden itu menerusi panggilan telefon.

Cik Halimah mula menyumbang tenaga dan berkhidmat sebagai anggota kesatuan dan pemimpin masyarakat. Beliau kemudian menceburi bidang politik dengan menjadi Anggota Parlimen (AP), sebelum menyandang jawatan sebagai Menteri Negara dan Speaker Parlimen.

PM Lee berkata: "Pengalamannya yang luas, bekerjasama dengan rakyat Singapura dari segenap lapisan masyarakat dan memperjuangkan hak-hak para pekerja serta golongan kurang berkemampuan akan dapat dimanfaatkan apabila beliau menyandang jawatan sebagai Presiden."

PM Lee menambah, seorang Presiden adalah mercu sistem politik dan lambang negara berbilang kaum dan agama dan beliau yakin "Cik Halimah akan dapat berkhidmat dengan cemerlang".

Dalam catatan Facebook yang sama, PM Lee juga mengucapkan terima kasih kepada dua lagi individu - Encik Farid Khan dan Encik Salleh Marican - yang melahirkan hasrat menjadi calon, namun kemudian diisytihar tidak layak.

"Keputusan yang dibuat bukan mudah bagi diri mereka dan keluarga memandangkan mereka akan menjadi perhatian media dan orang awam.

"Mereka menghormati perlembagaan dan menjaga tatasusila dan kesopanan. Mereka tidak mengelirukan orang awam dengan membuat janji-janji yang menjangkaui bidang kuasa seorang Presiden. Ia pernah berlaku sebelum ini. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana menerima keputusan Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden," kata PM Lee.

Cik Halimah akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden esok (14 Sep).

- BERITAMediacorp/nk

Top