Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee: Sedang perbelanjaan S'pura terus meningkat, kenaikan cukai tidak dapat dielak

Pelaburan Singapura bagi ekonomi dan prasarana, serta perbelanjaan untuk khidmat sosial dan rangkaian keselamatan, semuanya perlu bagi masa depan Singapura, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (19 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Nov 2017 04:42PM Dikemas Kini : 19 Nov 2017 10:42PM

SINGAPURA: Pelaburan Singapura bagi ekonomi dan prasarana, serta perbelanjaan untuk khidmat sosial dan rangkaian keselamatan, semuanya perlu bagi masa depan Singapura, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (19 Nov).

Namun, pelaburan dan perbelanjaan sosial adalah mahal, dan pemerintah perlu memastikan ia mampu menampung kos ini, katanya.

Berucap kepada sekitar 2,000 aktivis di konvensyen PAP, PM Lee berkata bahawa meskipun Singapura mempunyai pendapatan yang mencukupi, perbelanjaan semakin meningkat dan dijangka naik lagi.

Sedang perbelanjaan Singapura terus meningkat, beliau menekankan bahawa Menteri Kewangan Heng Swee Keat bercakap benar apabila beliau menegaskan bahawa menaikkan cukai bukan mengenai sama ada untuk berbuat demikian tetapi bila ia akan dinaikkan.

"Sebelum masa itu tiba, kita perlu merancang terlebih dahulu, terangkan kepada rakyat Singapura bagaimana wang itu akan digunakan, dan buktikan bagaimana ia dapat menguntungkan mereka tidak kira muda atau tua," katanya.

PM Lee menambah bahawa Parlimen akan berehat pada pertengahan penggal selepas Belanjawan Negara bagi tahun depan dibentangkan.

PENYUSUNAN SEMULA SEDANG DIJALANKAN

PM Lee mengatakan bahawa dari segi ekonomi, strategi dan pelan kerja sedang diusahakan sambil menyebut contoh-contoh seperti Perancangan Perubahan Industri. Beliau menekankan bahawa kesatuan-kesatuan dan majikan perlu berganding bahu dengan pemerintah.

"Penyusunan semula sudah dijalankan, dan kami akan meneruskannya," katanya. "Ini sebahagian daripada usaha jangka panjang yang akan diteruskan selepas penggal ini."

Pemerintah juga akan terus mempertingkat khidmat kereta api, dan memperluaskan rangkaian pengangkutan awam, katanya. Selain itu, akan ada pelaburan besar prasarana seperti Kereta Api Laju (HSR) ke Kuala Lumpur, dan kawasan baru Tasik Jurong yang dibina berdekatan dengan terminal HSR. Keupayaan udara dan laut Singapura juga akan digandakan.

"Semua ini akan mengubah bandar kita, meningkatkan keupayaan daya saing kita dan memberi lebih banyak peluang dan pekerjaan bagi rakyat Singapura," kata PM Lee.

Beliau menambah bahawa daya bingkas sosial Singapura juga diperhebat, dengan perbelanjaan tahunan Singapura bagi sektor jagaan kanak-kanak dinaikkan seganda kepada S$1.7 bilion. Permintaan bagi khidmat jagaan kesihatan juga melonjak, dan beliau menarik perhatian bahawa sistem jagaan kesihatan sedang menjalani penyusunan semula, dengan lebih banyak hospital akut dan hospital masyarakat sedang dibina. Pemerintah juga memperbaiki perlindungan MediShield, dan kini sedang melakukan sesuatu terhadap ElderShield bagi jagaan jangka panjang.

"Semua usaha ini akan membuat jagaan kesihatan lebih dimampui untuk rakyat Singapura, tetapi perbelanjaan pemerintah akan meningkat.

PM LEE: TIDAK MUDAH BAGI PAP PEROLEH KEPERCAYAAN RAKYAT

PM Lee menekankan bahawa ia tidak akan mudah untuk meningkatkan ekonomi, membuka peluang pekerjaan dan menampung "rancangan-rancangan" besar pemerintah. Untuk melaksanakan dasar-dasar ini, pemerintah memerlukan sokongan politik.

"Orang ramai perlu menyokong PAP, dan paling penting sekali, mereka meyakini PAP," kata beliau. "Mereka harus tahu bahawa PAP prihatin tentang mereka, dan sedang berusaha memperbaiki kehidupan mereka."

Namun, beliau turut menekankan pentingnya membuat pilihan dan keputusan yang sukar sebelum mengumumkannya kepada rakyat Singapura.

"Terangkan kepada mereka mengapa kami perlu lakukannya, dan dapatkan sokongan mereka," katanya. "Walaupun ada yang tidak suka sesuatu dasar, kami perlu yakinkan mereka bahawa kami lakukannya dengan niat yang jujur dan untuk sebab-sebab yang baik."

PAP, tambahnya, mendapat kepercayaan orang ramai dengan cara yang tidak mudah, dan ini tidak boleh dipandang remeh sama sekali.

"PAP selalu jujur dengan rakyat Singapura," katanya. "Kami tidak hanya memberitahu apa yang ingin anda dengari. Kami berunding dengan anda.

"Memandangkan kami bersikap terbuka dan jujur dengan anda, anda tahu PAP mengotakan apa yang dijanjikan, dan melaksanakan semua yang dijanjikan."

Beliau turut memberikan contoh-contoh demokrasi Barat bagi menunjukkan bahawa parti politik di Britain dan Amerika Syarikat "tidak lagi dilihat sebagai mewakili kepentingan rakyatnya".

Golongan kulit putih dan para pekerja yang mengundi untuk Presiden Donald Trump, katanya, sudah hilang kepercayaan bukan sahaja terhadap seseorang pemimpin, tetapi terhadap keseluruh sistem politik dan pemerintah mereka.

"Kita harus pastikan ini tidak akan berlaku di Singapura," katanya.

PENTING BAGI PAP MENDAMPINGI RAKYAT

Dalam tahun-tahun akan datang, kepercayaan antara PAP dan rakyat Singapura akan diuji, tetapi ia akan menjadi "lebih penting berbanding sebelum ini", kata PM Lee.

"Seperti negara lain, Singapura juga akan terjejas dengan gangguan ekonomi dan sosial. Namun, tidak seperti negara-negara lain, kami harus terus bersatu," katanya yang turut menambah bahawa politik dan dasar yang baik perlu dilaksanakan untuk membantu rakyat Singapura berdepan dengan perubahan ini.

"Orang ramai harus tahu bahawa PAP bukan pemerintah yang bertindak sendirian, tetapi sebagai sebuah pasukan yang prihatin dan peduli."

Setiap anggota dan aktivis PAP, tekan beliau, memainkan peranan penting.

"Jika anda ingin menolak tanggungjawab anda, bersikap sombong atau mengambil kesempatan daripada jawatan anda, anda akan mencalarkan nama baik anda dan menjejas parti ini," kata PM Lee. "Tapi, kalau anda mempertahankan prinsip parti ini dan berkhidmat sebaik-baiknya, anda mampu menguatkan kepercayaan antara parti dengan rakyat, memperkukuh dasar parti, dan membantu memastikan Singapura terus berjaya.

Anggota PAP, menurutnya, harus terus bersikap rendah diri dan mendampingi rakyat agar sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat. 

Sumber : CNA/AQ/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan