Images
  • PM Lee CNBCiv 2
    PM Lee Hsien Loong dalam wawancara bersama CNBC. (Gambar: MCI)

PM LEE: Rangka kerja e-dagang, rangkaian bandar bijak ASEAN sedang dirancang

MANILA: Singapura berharap untuk membangunkan rangka kerja e-dagang, keupayaan siber dan membuka rangkaian bandar bijak ASEAN, sebagai pengerusi baru perkumpulan serantau ini, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (14 Nov).

PM Lee berkata demikian semasa berucap di sidang puncak sempena 20 tahun kerjasama antara ASEAN dengan China, Jepun dan Korea Selatan, yang secara kolektif dipanggil 'ASEAN Campur Tiga'.

Menurut PM Lee, penting bagi ASEAN mencari cara inovatif untuk memanfaatkan peluang yang diwujudkan oleh teknologi baru. Beliau menambah, negara-negara Asia Timur sudahpun berada di barisan hadapan untuk mendakap penggunaan teknologi baru, terutamanya dalam e-dagang dan bidang bandar bijak.

"Jika kita bergabung tenaga dan memanfaatkan kekuatan antara satu sama lain, maka akan ada potensi," kata PM Lee. Ekonomi digital ASEAN dijangka meningkat sebanyak 500 peratus, kepada kira-kira AS$200 bilion (S$272 bilion) menjelang 2025, tambahnya.

Semalam (13 Nov), di sidang puncak bersama China, PM Lee mengatakan ASEAN boleh belajar daripada kuasa besar serantau berhubung teknologi kewangan, e-dagang dan bidang bandar bijak.

Sejak penubuhannya pada tahun 1997, ASEAN Campur Tiga menjadi "mekanisme berharga dalam seni bina rantau ini," kata PM Lee. "Ia memangkin kerjasama yang saling menguntungkan dalam pelbagai bidang seperti pelancongan, kewangan, kesihatan, pendidikan dan keselamatan makanan," katanya.

Beliau menambah, 'ASEAN Campur Tiga' bersatu dan mengharungi masa-masa genting, seperti krisis kewangan dan penularan wabak SARS.

Satu laporan Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN + 3 (AMRO) awal tahun ini menyatakan bahawa krisis kewangan Asia pada tahun 1997 adalah "peristiwa penting" bagi 'ASEAN Campur Tiga' yang memacu integrasi serantau dalam perdagangan dan pelaburan. Ini membawa kepada sistem yang menangani ancaman global.

Secara berasingan, wabak SARS pada tahun 2003 juga mendorong negara-negara untuk mewujudkan rangka kerja dan mekanisme untuk memerangi penyakit berjangkit seperti itu.

PM LEE: ASEAN CAMPUR TIGA "NADI EKONOMI"

Menyifatkan ASEAN Campur Tiga sebagai "nadi ekonomi", PM Lee berkata pada 2016, perdagangan barangan ASEAN dengan tiga negara lain bernilai hampir AS$700 bilion (S$953 bilion), atau 31 peratus daripada keseluruh nilai perdagangan barangan ASEAN.

PM Lee menambah bahawa ASEAN berbesar hati dapat menyokong Deklarasi Manila sempena Ulang Tahun ke-20 Kerjasama ASEAN Campur Tiga. Perisytiharan ini akan mengambil kira semua pencapaian penting ASEAN Campur Tiga sepanjang dua dekad lalu selain menetapkan hala tuju dan keutamaan bagi tahun-tahun akan datang.

Namun, terdapat keperluan untuk memajukan lagi integrasi ekonomi dan kewangan, katanya. Beliau menekankan pentingnya untuk mempertingkat usaha bagi memuktamadkan Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP).

RCEP adalah perjanjian dagangan bebas yang masih dalam tahap rundingan sejak 2012. Perjanjian ini melibatkan ASEAN Campur Tiga bersama India, Australia dan New Zealand. RCEP akan memberi manfaat kepada perniagaan dan rakyat, serta "menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa Asia Timur yakin terhadap masa depan ekonomi kami", kata PM Lee.

PERKUKUH KETERSAMBUNGAN BAGI PERTINGKAT JARINGAN

"Ia juga sangat memberangsangkan kerana kita sedang mengukuhkan ketersambungan serantau untuk meningkatkan hubungan fizikal, institusi dan sesama rakyat," kata PM Lee. Beliau berkata wisata pelayaran adalah "sektor yang sangat berpotensi" untuk mengeratkan hubungan seperti ini.

Beliau berkata demikian semasa berucap tentang "potensi sinergi" antara Pelan Induk mengenai Ketersambungan ASEAN 2025 dengan Inisiatif Tiga Negara dalam bidang infrastruktur. Rancangan ASEAN, merangkumi infrastruktur yang mampan, inovasi digital, logistik yang lancar, kecemerlangan pengawalseliaan dan pergerakan penduduk.

"Kita juga boleh meneruskan projek-projek praktikal yang dikongsi bersama untuk menunjukkan kesungguhan kami dalam memupuk ketersambungan," kata PM Lee.

Beliau berkata, pelancong yang mengunjungi Asia Timur juga meningkat dengan pesat. Ketiga-tiga negara yang menjadi rakan ASEAN itu membentuk lebih suku daripada ketibaan pelancong ke negara-negara ASEAN pada tahun 2015, satu peningkatan berbanding sekitar seperlima pada tahun 2014, tambah PM Lee.

Selain itu, perkumpulan itu harus terus mempertingkat inisiatif utama ASEAN Campur Tiga seperti AMRO dan Inisiatif Berbilang Pihak Chiang Mai. AMRO dilihat sebagai versi Asia bagi Tabung Kewangan Antarabangsa dan digambarkan sebagai "mekanisme amaran awal" yang boleh memberi saranan dasar untuk mengelak krisis, sementara Inisiatif Chiang Mai berfungsi sebagai rizab bersama yang menyediakan pinjaman kepada negara-negara yang menghadapi masalah kewangan .

PERTAHAN KEAMANAN SERANTAU

Beliau juga berucap tentang perlunya bekerjasama bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau. "Keselamatan serantau adalah landasan pertumbuhan dan perkembangan kita," katanya, sambil menambah bahawa Singapura "sangat prihatin" mengenai keadaan di Semenanjung Korea.

Singapura mengutuk keras provokasi baru-baru ini oleh Korea Utara, katanya.

"Tindakan ini menimbulkan ancaman serius terhadap keamanan dan kestabilan serantau. Ia boleh membawa padah yang serius," katanya, sambil menggesa Korea Utara supaya menghentikan provokasi dan mematuhi undang-undang antarabangsa.

Dalam bahagian akhir ucapannya, Encik Lee berkata sebagai pengerusi ASEAN pada tahun 2018, Singapura akan berusaha sebaik mungkin untuk memperkukuhkan lagi hubungan dengan 'ketiga-tiga rakan itu' dan berusaha mencapai matlamat jangka panjang untuk membina Masyarakat Asia Timur.

"Kita perlu memperluas peranan dinamik ASEAN Campur Tiga dalam rantau yang terbuka dan inklusif," jelas PM Lee.  

- CNA/AQ/sm

Top