Images
  • pm lee sad
    Perdana Menteri Lee Hsien Loong meminta maaf kepada rakyat Singapura. (Gambar: PMO)

PM Lee mohon maaf kepada rakyat Singapura; akan buat Kenyataan Menteri pada 3 Julai nanti

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong meminta maaf kepada rakyat Singapura di atas pertikaian keluarga antara beliau dengan adik beradiknya, dan melahirkan rasa sangat kesal bahawa peristiwa itu menjejas reputasi Singapura dan keyakinan rakyat terhadap Pemerintah.

Menyampaikan demikian dalam satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri, PM Lee juga menyatakan, beliau akan membuat satu Kenyataan Menteri untuk menyanggah tuduhan-tuduhan yang dikenakan ke atasnya, apabila Parlimen bersidang pada 3 Julai nanti.

Kesemua Anggota Parlimen akan diberi "peluang untuk mengutarakan soalan-soalan bagi diri mereka dan penduduk mereka", menurut PM Lee.

PM LEE GESA SEMUA AP SOAL BELIAU SECARA MENYELURUH

"Saya sudah mengarahkan bahawa whip parti PAP diangkat. Saya gesa semua AP, termasuk AP bukan PAP, untuk memeriksa isu-isu tersebut secara menyeluruh dan menyoal saya dan rakan-rakan Kabinet saya dengan sepenuh tenaga.

"Saya harap perbahasan awal sepenuhnya di Parlimen ini akan menolak sebarang keraguan yang sudah tertanam dan mengukuhkan keyakinan dalam institusi-institusi dan sistem pemerintahan kita," ujar PM Lee dalam kenyataan tersebut.

PM Lee juga menyatakan, beliau mahu meyakinkan rakyat Singapura bahawa perkara ini tidak akan mengganggu beliau dan rakan-rakan Kabinetnya daripada tanggungjawab memerintah Singapura.

Ini juga tambah beliau tidak akan mengganggu beliau dan Pemerintah dalam menghuraikan isu-isu nasional yang lebih penting, termasuk cabaran-cabaran ekonomi dan keselamatan yang sedang dihadapi Singapura.


PM Lee Hsien Loong, Dr Lee Wei Ling, Encik Lee Hsien Yang. (Gambar: Xabryna Kek, TODAY, AFP)

PM LEE PILU FIKIRKAN "AZABNYA" KEPADA IBU BAPANYA

Semasa menyampaikan permohonan maaf kepada rakyat Singapura, PM Lee akur bahawa rakyat Singapura terganggu dan bingung dengan berita pertikaian antara beliau dengan adik beradiknya sejak seminggu lalu.

"Sebagai Perdana Menteri anda, saya memohon maaf kepada anda berhubung perkara ini. Dan sebagai adik beradik sulung, saya pilu memikirkan azab yang perkara ini akan timpakan kepada ibu bapa kami jika mereka masih lagi hidup," tulis PM Lee dalam kenyataan tersebut.

PM Lee seterusnya menyatakan, beliau sudah melakukan segala yang terdaya untuk mengelakkan peristiwa tersebut.

Ayah beliau, iaitu mantan Perdana Menteri Lee Kuan Yew, meninggalkan hartanah di 38 Oxley Road kepadanya sebagai sebahagian daripada bahagian sama rata harta peninggalannya.

"Tetapi adik beradik saya tidak gembira dengan ini," menurut PM Lee.

CUBA HURAIKAN SECARA PRIVET

PM Lee menjelaskan, beliau cuba menghuraikan perasaan kurang senang mereka secara privet. Ini termasuklah menawarkan untuk memindahkan 38 Oxley Road kepada adiknya, Dr Lee Wei Ling, dengan harga nominal $1.

"Malangnya, tawaran tersebut gagal. Saya kemudian menjual rumah tersebut kepada adik lelaki saya (Lee Hsien Yang) pada harga pasaran yang adil dan mendermakan kesemua hasil jualannya kepada kebajikan," terang PM Lee.

PM Lee menyatakan, beliau berharap langkah-langkah tersebut akan memuaskan adik beradiknya itu dan seharusnya tiada lagi percakaran lanjut kerana beliau tidak lagi memiliki rumah tersebut, serta tidak mengambil bahagian dalam sebarang keputusan Pemerintah mengenai rumah tersebut.

"Bagaimanapun adik beradik saya memutuskan untuk keluar dan membuat tuduhan-tuduhan serius secara umum. Contohnya mereka mengatakan bahawa saya menggunakan kedudukan saya sebagai Perdana Menteri untuk mempengaruhi Jawatankuasa Menteri yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean.

"Tuduhan-tuduhan tersebut melangkaui perkara-perkara privet dan peribadi, dan menyentuh tentang perilaku pejabat saya dan kewibawaan Pemerintah," tulis PM Lee dalam kenyataan PMO dua halaman itu.

I will speak in Parliament on the matter of 38 Oxley Road on 3 July. Watch my statement explaining this by clicking on the link below, or read the full text here: on.pmo.sg/2rvplEv. – LHL

Posted by Lee Hsien Loong on Monday, 19 June 2017

"TIDAK BOLEH DIBIARKAN TIDAK TERJAWAB"

Perdana Menteri selanjutnya menyatakan, beliau mahu melupakan peristiwa ini. Namun tuduhan-tuduhan tersebut, yang disifatkannya sebagai tidak berasas terhadap Pemerintah, "tidak boleh dibiarkan tidak terjawab".

"Ianya mesti dan akan dihuraikan secara terbuka dan disanggah," tegas PM Lee lagi.

Sebagai kakitangan awam, tulisnya lagi, beliau dan para Menterinya akan terus melindungi integriti institusi-institusinya dan menegakkan piawai yang tinggi - iaitu membezakan antara ehwal privet daripada tugas-tugas awam.

Kenyataan Encik Lee menerusi PMO itu ditutup dengan perenggan berikut: "Kami beriltizam untuk memperbaiki kerosakan yang sudah dilakukan terhadap Singapura. Kami akan terus memimpin negara kita dan berkhidmat kepada anda dengan sepenuh keupayaan kami." 

- BERITAMediacorp/im

Top