Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee: Ekonomi India, hubungan pengangkutan ‘sangat penting' bagi ASEAN

PM Lee berkata India adalah rakan yang "sangat penting" bagi ASEAN. 

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee: Ekonomi India, hubungan pengangkutan ‘sangat penting' bagi ASEAN

PM Lee Hsien Loong bersama dengan Perdana Menteri India Narendra Modi. (Gambar fail: Jason Quah/TODAY)

Diterbitkan : 08 Sep 2016 12:59PM Dikemas Kini : 08 Sep 2016 01:14PM

VIENTIANE, Laos: India adalah rakan yang "sangat penting" bagi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) berhubung ekonomi dan ketersambungan, kata Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada Khamis (8 Sep).

Di Sidang Puncak ASEAN-India yang diadakan pada hari terakhir mesyuarat perkumpulan serantau itu, PM Lee berkata pasaran India dan ASEAN adalah "ekonomi yang besar dan bertenaga".

"Jika kedua-dua pihak boleh bekerjasama bagi menyepadukan ekonomi dan mempertingkatkan perdagangan dan pelaburan, kita akan menyumbang besar kepada pertumbuhan Asia," kata PM Lee, sambil merujuk kepada Kawasan Dagangan Bebas ASEAN-India (AIFTA) dan Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) sebagai laluan bagi kedua-dua pihak untuk berbuat demikian.

Kata PM Lee: "AIFTA masih merupakan pemacu utama untuk merangsang kerjasama ekonomi ASEAN-India. Ia dimeterai enam tahun lalu dan sudah tiba masanya untuk menyemak Perjanjian Perdagangan Barangan (TIG)."

Beliau juga mengenal pasti RCEP - perjanjian dagangan bebas yang diusulkan antara ASEAN dan Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand - sebagai yang berpotensi untuk merubah rantau Asia Timur sebagai sebuah pasaran "tunggal yang bersepadu" yang terdiri daripada hampir separuh penduduk dunia dan sekitar sepertiga GDP tahunannya buat masa ini.

"Ia bukan setakat peluang ekonomi tetapi juga kunci utama untuk India melibatkan diri dengan rantau Asia Pasifik, di samping mengukuhkan kerelevanan strategiknya di peringkat dunia," kata PM Lee.

PM Lee juga menyifatkan India sebagai pemain penting dalam ketersambungan serantau, sambil merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri India Narendra Modi mengenai pinjaman AS$1 bilion bagi mempromosikan projek-projek antara ASEAN dan India seperti pembangunan lebuh raya India-Myanmar-Thailand dan lebuh raya India-Myanmar-Laos-Vietnam-Kemboja.

"Semua ini adalah laluan darat dan untuk melengkapinya, laluan udara juga penting," kata PM Lee. "Perjanjian Pengangkutan Udara ASEAN-India (AIATA) akan membolehkan syarikat-syarikat penerbangan untuk merebut peluang keemasan itu, di samping menghubungkan bandar-bandar utama di negara-negara anggota ASEAN dan India."

"Singapura sudah lama menyokong pelibatan strategik India di rantau ini, kita boleh mengalu-alukan bab baru dalam hubungan ini, dengan pelibatan yang lebih mendalam dan kerjasama yang lebih menyeluruh," kata PM Lee.

Sumber : CNA/aw
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan