Images
  • PM Lee
    Gambar fail Perdana Menteri Lee Hsien Loong. (Gambar: AFP/Marty Melville)

PM Lee akan buat lawatan rasmi ke Vietnam

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan membuat lawatan rasmi ke Vietnam dari esok (21 Mac) hingga 24 Mac, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini (20 Mac).

PM Lee akan melawat Ho Chi Minh City (HCMC) dari esok hingga Rabu, dan Hanoi dari Rabu hingga Jumaat.

Lawatannya itu akan mengesahkan hubungan yang sudah lama terjalin antara Singapura dan Vietnam, menurut PMO.

PM Lee juga akan bertemu dengan beberapa pemimpin Vietnam untuk berbincang tentang cara-cara memperkukuhkan kerjasama dua hala menerusi perkongsian strategik yang dimuktamadkan semasa kali terakhir beliau melakukan lawatan rasmi ke Vietnam pada September 2013, tambah PMO.

Di Hanoi, PM Lee akan bertemu dengan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong, Presiden Tran Dai Quang, Perdana Menteri Nguyen Xuan Phuc dan Presiden Perhimpunan Nasional Nguyen Thi Kim Ngan.

PM Lee akan diundang ke jamuan malam oleh Encik Phuc.

Perdana Menteri Singapura itu juga akan meletakkan lingkaran bunga di Tugu Peringatan Ho Chi Minh dan Monumen bagi Pahlawan dan Pejuang Negara.

Di Ho Chi Minh City, PM Lee akan bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Rakyat HCMC, Nguyen Thanh Phong, yang juga akan mengundangnya makan tengah hari.

PM Lee juga akan menghadiri acara jamuan tengah hari dengan para ahli perniagaan berpangkalan di Ho Chi Minh City dan merasmikan pembukaan Pusat Perniagaan Mapletree di sana. Beliau juga akan menghadiri satu majlis bersama rakyat Singapura yang berpangkalan di bandar itu.

PM Lee akan diiringi Cik Lee, serta Menteri di Pejabat Perdana Menteri Chan Chun Sing, Menteri Negara Kanan Ehwal Luar merangkap Pertahanan Mohamad Maliki Osman, Setiausaha Parlimen Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Baey Yam Keng, Anggota Parlimen Dr Intan Azura Mokhtar dan para pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Ehwal Luar.

Semasa PM Lee berada di luar negara, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean akan memangku jawatan Perdana Menteri.

- CNA/nd

Top