Images
  • planking
    Sesi 'planking' dilakukan para kakitangan Persatuan Ain dan Mediacorp Suria yang disertai personaliti TV dan radio. (Gambar: Mediacorp Suria)

#PlankingForCancer bantu Projek Kasih pertingkat kesedaran tentang barah

SINGAPURA: Kempen media sosial #PlankingForCancer akan diterapkan dalam Projek Kasih tahun ini.

Projek amal itu bertujuan untuk membantu para pesakit barah, bekas pesakit barah dan penjaga mereka.

Demikian menurut penganjur Projek Kasih, Persatuan Ain dan Mediacorp Suria dalam satu kenyataan bersama hari ini (19 Apr).

Kempen media sosial #PlankingForCancer yang dilancarkan pada Februari lalu berjaya menarik lebih 170 penyertaan di media sosial.

Ia juga akan menjadi segmen pembukaan rancangan Projek Kasih yang memaparkan video sesi 'planking' yang melibatkan 50 kakitangan Mediacorp dan Persatuan Ain dan juga para personaliti TV dan radio.



Cef Bob dan Farhan Hassan turut menyertai #PlankingForCancer. (Gambar: Mediacorp Suria)

Projek Kasih yang bakal menemui para penonton pada bulan Mei kembali bagi edisi kelima dengan tema Kasih, Ihsan, Prihatin.

Ketua Penyiaran Melayu Mediacorp Cik Zakiah Halim berkata: "Kami berbesar hati dapat sokongan daripada masyarakat, kumpulan-kumpulan kesihatan, para pelajar dan selebriti bagi kempen media sosial kami, #PlankingForCancer.

"Ketekunan mereka melalui cabaran 'planking' menunjukkan kesukaran dan ketabahan para pesakit barah. Kami berharap dengan kepekaan ini, Projek Kasih akan terus menjadi platform bagi para penonton dan penderma mendampingi pesakit barah."

PROJEK KASIH SASAR KUMPUL $650,000

Persatuan Ain menyatakan bahawa ia berharap dapat mengumpul S$650,000 bagi Projek Kasih 2017. Dana yang dikumpulkan daripada rancangan itu akan disalurkan bagi membantu lebih 550 pesakit barah di bawah bantuan Persatuan Ain melalui program dan khidmatnya.

Usaha pungutan derma tahun lalu berjaya meraih $626,485 semasa siaran Projek Kasih 2016 dan lebih $1 juta secara keseluruhannya pada akhir kempen itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ain Yusof Ismail berkata: "Kami gembira mendapat sokongan padu dari pelbagai lapisan masyarakat, termasuk para penerima derma, penderma dan rakan-rakan yang berkepentingan.

"Walaupun dengan landskap ekonomi global yang tidak menentu, kami percaya keprihatinan dan keihsanan masyarakat akan membantu kami mencapai matlamat utama kami bagi Projek Kasih 2017."

Rancangan dua jam itu akan disiarkan pada 7 Mei di saluran Suria dan Toggle dan Speaker Parlimen Halimah Yacob akan menyerikan acara itu sebagai tetamu terhormat.

Orang ramai yang ingin menderma boleh berbuat demikian menerusi talian 1900 112 2110, 1900 112 2150 and 1900 112 2100 bagi sumbangan derma $10, $50 dan $100 mulai hari ini hingga 14 Mei 2017. 

- BERITAMediacorp/ru

Top