Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pilihan raya bakal menjelang mungkin sebabnya M’sia rujuk lagi Pedra Branca ke ICJ

Akan sentiasa ada turun naik dalam hubungan Singapura dengan negara-negara lain. Namun pendekatan asas Singapura tidak seharusnya berubah. Demikian ditekankan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Nov 2017 01:34PM Dikemas Kini : 19 Nov 2017 10:44PM

SINGAPURA: Akan sentiasa ada turun naik dalam hubungan Singapura dengan negara-negara lain. Namun pendekatan asas Singapura tidak seharusnya berubah. Demikian ditekankan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Berucap di acara tahunan Konvensyen dan Anugerah PAP hari ini (19 Nov), PM Lee menarik perhatian bahawa Singapura harus mengambil pandangan jangka panjang dan berusaha untuk mempunyai hubungan baik yang saling memanfaatkan kedua-dua pihak.

“Di mana hubungan berjalan baik, kita tidak seharusnya mengambilnya dengan mudah,” kata beliau. “Lebih penting lagi, jika hubungan merudum, kita tidak tidak boleh gelabah atau ketakutan.”

Singapura memang berkawan dengan banyak negara. Namun PM Lee menegaskan bahawa negara ini tidak boleh terlepas sehingga dikuasai atau dipengaruhi pihak asing.

“Tiada negara luar yang seharusnya mempengaruhi perdebatan dan politik dalam negeri kita, atau memecah belah dan melemahkan kita sama ada secara terbuka atau tersirat,” ujar Encik Lee lagi.

“Rakyat Singapura perlu memahami kepentingan-kepentingan teras kita.”

Beliau kemudian berkata bahawa apabila Singapura diuji, “kita mesti bersatu padu dan menyokong Pemerintah” agar negara ini boleh teguh berdiri dan mempertahankan kepentingan-kepentingannya sebagai sebuah negara.

HUBUNGAN S’PURA DENGAN M’SIA

PM Lee menarik perhatian bahawa hubungan Singapura dengan Malaysia dan Indonesia akan sentiasa rumit. Isu-isu akan sentiasa timbul dari semasa ke semasa. Contohnya ialah isu Pedra Branca, kata beliau.

“Saya fikir isu ini sudah lama selesai secara tuntas dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2008, di mana hak ke atas Pedra Branca
diberikan kepada Singapura. Tetapi hampir sedekad kemudian, Malaysia pergi lagi ke ICJ memintanya supaya menilai semula dan mengubah keputusan.

“Saya kurang pasti apa motif Malaysia, tetapi pilihan raya umum mereka akan muncul. Ia mungkin ada kena mengena dengannya,” jelas PM Lee.

HUBUNGAN S’PURA DENGAN INDONESIA

Berhubung Indonesia pula, beliau menarik perhatian bahawa ahli-ahli politik negara itu sedang bercakap tentang keinginan mengambil balik ruang udara mereka dari Singapura.

Isunya bukanlah tentang ruang udara Singapura, kata PM Lee, tetapi tentang Kawasan Maklumat Penerbangan (FIR), iaitu tentang pengurusan lalu lintas udara.

“Siapa yang mengawal FIR adalah perkara teknikal mengenai peraturan terbaik bagi keselamatan udara. Tetapi ia sudah dipolitikkan dan dijadikan isu kedaulatan dan kewibawaan negara,” kata PM Lee. “Ini menjadikannya lebih sukar untuk dihuraikan.”

Bagaimanapun PM Lee menekankan bahawa hubungan Singapura dengan Malaysia dan Indonesia adalah baik. Singapura juga merupakan pelabur asing terbesar di kedua-dua negara dan menjadi destinasi pelancongan utama Singapura.

HUBUNGAN S’PURA DENGAN CHINA, AS

Menyentuh tentang kuasa-kuasa besar pula, Encik Lee berkata hubungan Singapura dengan China dan Amerika Syarikat juga berada dalam kedudukan yang baik.

“Bukan sentiasa mudah untuk menjadi kawan baik kepada kedua-dua Amerika Syarikat dan China pada masa yang sama,” kongsi Encik Lee. “Tapi sebagai sebuah negara kecil, kita perlu berkawan dengan seberapa banyak negara yang boleh.”

Lantaran itu, Singapura perlu bekerja keras untuk mengendalikan hubungan dengan kedua-dua China dan Amerika Syarikat. Tetapi dalam pada itu menegakkan sendiri kepentingan-kepentingan Singapura.

Penilaian PM Lee mengenai perkara tersebut?

“Saya rasa kita boleh tahan juga.” 

Sumber : CNA/DY/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan