Images
  • HSA Gantung Lesen
    Kelima-lima peruncit yang digantung lesen penjualan tembakau. (Gambar: HSA)

Peruncit didenda, 5 kedai digantung lesen kerana jual rokok kepada pelanggan bawah umur

SINGAPURA: Sebuah kedai runcit didenda dan lesen penjualan tembakau bagi lima kedai digantung selepas didapati menjual rokok kepada pelanggan bawah umur 18 tahun, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) hari ini (14 Nov).

Vaithilingam Pazhanisamy, yang mengendalikan Kedai Sri Mahalakshmi di Blok 531 Ang Mo Kio Avenue 10, didapati menjual rokok kepada seorang pelajar yang memakai uniform sekolah pada hujung 2016. Dia didenda S$2,300 Khamis lalu (9 Nov). Jurucakap HSA memberitahu Mediacorp bahawa Vaithilingam membatalkan lesen penjualan tembakaunya semasa siasatan masih dijalankan kerana perniagaannya sudah gulung tikar.

Antara bulan Ogos dengan Oktober tahun ini, lima peruncit lain juga didapati menjual produk tembakau kepada pembeli bawah umur. Kelima-lima peruncit tidak mengesahkan umur pelanggan atas alasan mereka sibuk atau pelanggan bawah umur kelihatan lebih tua daripada usia sebenar, demikian menurut HSA.

Lima peruncit itu adalah:
- Prime City di 123 Bedok North Street 2

- Tai Wanderful di Jalan 49 Stirling

- Hock Siang Cheng Joss Sticks Trading Enterprise di 548 Woodlands Drive 44

- Kedai Runcit Yi Cheng di 477 Pasir Ris Drive 6

- 7-Eleven di 744 Bedok Reservoir Road

Lesen kelima-lima peruncit digantung selama enam bulan.

HSA menyatakan peruncit-peruncit ditangkap dalam satu operasi yang dijalankan dengan tujuan mencegah penjualan produk tembakau kepada mereka yang berusia bawah 18 tahun. Perbuatan ini menyalahi undang-undang.

Penjual mengambil risiko melanggar undang-undang jika mereka sekadar menilai umur pembeli melalui keterampilan pembeli, tambah pihak berkuasa.

Di bawah Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan), sesiapa yang ditangkap menjual produk tembakau kepada mereka yang berumur bawah 18 tahun boleh dikenakan denda sehingga S$5,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga S$10,000 untuk kesalahan kedua atau seterusnya.

Di samping itu, lesen akan digantung selama enam bulan untuk kesalahan pertama dan dibatalkan untuk kesalahan kedua. Walau bagaimanapun, peruncit yang didapati menjual produk tembakau kepada pelanggan yang memakai uniform sekolah atau mereka yang bawah umur 12 tahun akan dibatalkan lesennya, sekalipun ia adalah kesalahan pertama.

Sejak 2015, 58 lesen digantung dan sembilan dibatalkan, menurut HSA.

Usia minimum yang dibenarkan undang-undang untuk membeli, menggunakan, memiliki, menjual dan membekalkan produk tembakau akan dinaikkan dari 18 tahun kepada 21 tahun. Setiausaha Parlimen Kesihatan Amrin Amin memberitahu Parlimen pada Selasa lalu (7 Nov) bahawa ia akan dinaikkan secara bertahap-tahap dalam tempoh tiga tahun bagi mengurangkan kesannya terhadap perokok yang sekarang ini berusia antara 18 hingga 21 tahun.

Pengharaman terhadap perbuatan mempamerkan produk tembakau juga berkuat kuasa Ogos lalu, selepas tempoh setahun sejak ia diumumkan. Undang-undang itu diluluskan di Parlimen Mac lalu, di bawah pindaan Rang Undang-Undang Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan). 

- CNA/AQ/sm

Top