Images
  • raya1

Perjumpaan Raya himpun 200 ahli keluarga dari 4 generasi

SINGAPURA: Keluarga-keluarga Melayu/Islam masih giat mengadakan rumah terbuka lebih-lebih lagi pada hari-hari terakhir Syawal.

Malah, ia kini menjadi satu trend untuk mengadakannya di lokasi-lokasi lebih besar dan gah seperti restoran dan dewan hotel yang dapat menampung lebih ramai saudara mara dan tetamu.

Ini juga tidak terkecuali bagi Encik Hamri Hunar yang meraikan Lebaran tahun ini secara besar-besaran bersama keluarga empat generasi beliau.


Jika biasanya mereka saling ziarah-menziarahi sempena Hari Raya, namun keadaannya berbeza semalam (15 Jul), dengan sekitar 200 ahli keluarga Encik Hamri berkumpul di restoran Warung di Kolej Timur ITE.

Suasana sambutan tahun ini juga lebih kecoh dan meriah dengan kehadiran sanak saudara yang 'turun' dari Kuala Lumpur semata-mata untuk melepaskan rindu dengan saudara-mara di sini.


Encik Hamri Hunar (berbaju jingga).

Encik Hj Hamri berkata: "Saya sangat gembira dan dukacita juga kerana ramai yang sudah pergi dahulu dan tidak dapat bersama-sama. Dan yang baru ini, cucu cicit, dapatlah kita kenal-mengenali antara satu sama lain."

Encik Zainullah Rawi pula berkongsi: "Ada yang di Jerman tidak dapat datang. Kita gunakan kumpulan sembang online itu untuk mengumpulkan mereka semua. Setiap keluarga ada wakil yang ada di dalam jawatankuasa itu, jadi memudahkan untuk kita berkomunikasi dan berkumpul untuk hari ini."

Kali terakhir majlis keluarga sebegini dianjurkan adalah 17 tahun lalu.

Bagi menyemarakkan lagi kemesraan sesama keluarga dan sanak saudara, acara sukaneka dan persembahan turut diadakan.


(Gambar-gambar: Fariza Abdul Aziz)

Lebih istimewa lagi, segala bentuk hiburan dirancang dan dijayakan sendiri oleh keluarga muhibah ini.

Encik Indra Shahdan Daud berkata: "Ada yang dah lama saya tidak dapat jumpa kemudian dapat berjumpa kembali. Seronoklah dapat berkumpul sekali lagi. Yang paling mustahak sekali kita dapat mengeratkan silaturrahim dengan ahli keluarga."

Gembira melihat tali persaudaraan yang masih kukuh di antara anak, cucu serta cicitnya, Encik Hamri berharap tradisi ini dapat terus dikekalkan. 

- BERITAMediacorp/im

Top