Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perjumpaan Hari Raya terbesar S'pura satukan 2,000 penduduk pelbagai kaum

Sedang masyarakat Melayu/Islam masih ziarah-menziarahi antara satu sama lain, para penduduk Woodlands juga sibuk menganjurkan perjumpaan Hari Raya terbesar di Singapura pada tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sedang masyarakat Melayu/Islam masih ziarah-menziarahi antara satu sama lain, para penduduk Woodlands juga sibuk menganjurkan perjumpaan Hari Raya terbesar di Singapura pada tahun ini.

Sekitar 2,000 penduduk dari pelbagai kaum dan latarbelakang berkumpul untuk beramah mesra dan mengeratkan silaturrahim sesama jiran tetangga.

Perjumpaan Hari Raya itu diadakan di Kelab Masyarakat Woodlands siang tadi (15 Jul).

Penduduk Cina, India dan Melayu duduk bersama di satu meja, sambil menjamu selera dengan makanan dan kuih-muih Hari Raya dan saling mengenali satu sama lain dengan lebih mesra lagi.

Seperti zaman-zaman kampung dahulu, perjumpaan Hari Raya itu turut menitikberatkan hubungan jiran tetangga, walaupun daripada kaum dan agama yang berbeza.

Encik Amrin Amin, Setiausaha Parlimen, Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan berkata: "Jadi perjumpaan Hari Raya di Woodlands ini adalah untuk menjemput seluruh kampung di Woodlands, untuk sama-sama memeriahkan Syawal, tidak kira bangsa dan agama, semua dapat sama-sama menikmati suasana yang indah ini."

"Acara seperti ini baik kerana ia menyatupadukan masyarakat kita, jadi saya gembira kerana ramai daripada masyarakat kita bersama-sama bersatu, dan saya rasa sangat gembira melihat kita berkumpul, lagi-lagi kita ingat baru-baru ini ada banyak kes keganasan di negara lain, jadi amat penting untuk kita mengeratkan lagi silaturrahim antara kaum dan di antara jiran," ujarnya lagi.

Acara meriah ini turut disertai para pemimpin akar umbi dan badan-badan agama di kawasan Woodlands.

Eksekutif Pendekatan Masyarakat Masjid Yusof Ishak, Encik Abdul Fattah Abdussamad turut memberikan pendapat: "Saya rasa majlis ini sangat baik, kerana ia bukan saja menggabungkan masyarakat Melayu setempat, malah ia juga menggabungkan dengan bangsa lain, jadi saya rasa ini yang mungkin jarang-jarang kita nampak dan ini merupakan inisiatif yang sangat baik, dan mungkin boleh diteruskan pada masa hadapan."

Dalam mengeratkan tali persaudaraan di kalangan masyarakat Melayu/Islam, persahabatan baru juga terjalin dengan penduduk dari kaum dan agama lain.

(Gambar-gambar: Ummu Rabbisyfina)

Penduduk Woodlands, Gooi Chin Siang berkata: "Sebagai warga Singapura yang mempunyai masyarakat berbilang kaum ini, saya sangat gembira kerana dapat mengeratkan lagi persahabatan dan tali persaudaraan sesama penduduk setempat."

Walaupun sudah dianjurkan buat kali kedua, apa yang jelas ialah ia dapat terus mengeratkan hubungan jiran tetangga di Woodlands. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan