Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penyelenggaraan sistem pam yang kurang baik punca gangguan laluan NSL

Tahap penyelenggaraan yang kurang mantap dipercayai punca kerosakan sistem pam air yang mengakibatkan gangguan perkhidmatan kereta api di Laluan Utara-Selatan (NSL).

Anggaran Waktu Membaca:
Penyelenggaraan sistem pam yang kurang baik punca gangguan laluan NSL

(Gambar: SCDF/Facebook)

Diterbitkan : 12 Oct 2017 06:40PM Dikemas Kini : 12 Oct 2017 06:42PM

SINGAPURA: Tahap penyelenggaraan yang kurang mantap dipercayai punca kerosakan sistem pam air yang mengakibatkan gangguan perkhidmatan kereta api di Laluan Utara-Selatan (NSL).

Menurut laporan Lianhe Zaobao hari ini (12 Okt) yang menukil sumber-sumber yang tidak dinamakan, "pam berkenaan tidak dapat berfungsi pada waktu kritikal itu kerana kurang penyelenggaraan".

KAKITANGAN MUNGKIN TERJEJAS

Akhbar itu juga menambah, kakitangan SMRT yang menyelia peralatan tersebut mungkin dipindahkan dari jabatan berkenaan kerana gagal menjalankan tugas dengan baik.

Laporan itu turut melaporkan bahawa pihak pengurusan MRT juga sedang memikirkan hal yang sama meski tidak membuat sebarang pengesahan. Bilangan kakitangan yang mungkin terjejas tidak didedahkan dalam laporan itu.

Pertanyaan pihak Mediacorp kepada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan SMRT tentang punca sebenar kerosakan pam dan soalan-soalan berkaitan dengan proses penyelenggaraan pam, masih belum terjawab sehingga hari ini.

Sebelum ini, LTA sendiri mendedahkan kalau kerosakan pada sistem pam mengakibatkan perkhidmatan MRT sepanjang enam stesen di laluan NSL tergendala.

Sistem yang rosak mengakibatkan banjiran air dari tempat takungan air hijan, mengalir masuk ke dalam terowong melalui landasan kereta api bawah tanah, dari Bishan ke stesen Braddell.

Ini memaksa SMRT untuk mematikan bekalan kuasa sebagai sebahagian langkah keselamatan. Akibatnya, perkhidmatan dari Ang Mo Kio ke stesen Newton diberhentikan sehingga petang Ahad lalu (12 Okt).

SBS TRANSIT SUDAH PERIKSA SISTEM PAM

Gangguan itu menjejas perjalanan beribu-ribu penumpang dan ia merupakan gangguan terburuk sejak tahun 2011.

Seorang jurucakap SBS Transit memberitahu Mediacorp bahawa ia sudah melakukan pemeriksaan teliti pada sistem pam air dan "tidak menemukan sebarang masalah".

Awal minggu ini, Mediacorp juga melaporkan kalau hujan lebat di beberapa kawasan pada hari Sabtu lalu sebenarnya berlaku sebentar sahaja dan tidak begitu tinggi berbanding piawai sebelum ini.

HUJAN LEBAT TIDAK BEGITU TERUK

Jabatan Kaji Cuaca Singapura menyatakan Bishan menerima jumlah hujan kedua terbesar dalam tempoh setengah jam pada hari tersebut, iaitu 42.2mm. Queenstown juga mengalami hujan lebih lebat, iaitu sebanyak 45.6mm.

Namun begitu, dari segi jumlah hujan harian, Ang Mo Kio mencatat jumlah tertinggi limpahan hujan, iaitu sebanyak 74.9mm.

"Meskipun hujan di sebahagian kawasan Singapura adalah lebat, ia berlaku hanya buat seketika dan curahan hujan yang dicatatkan, tidaklah luar biasa tinggi jika dibandingkan dengan rekod tertinggi limpahan hujan bulan Oktober, bagi jangka panjang," tambah jurucakap Perkhidmatan Meteorologi Singapura.  

Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan