Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penumpang boleh bawa basikal dan PMD ke dalam bas dan MRT mulai 1 Jun

Para penumpang kini boleh membawa basikal lipat dan alat mobiliti peribadi (PMD) mereka ke dalam bas awam dan kereta api pada bila-bila masa.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 May 2017 05:24PM Dikemas Kini : 28 May 2017 10:17PM

SINGAPURA - Para penumpang kini boleh membawa basikal lipat dan alat mobiliti peribadi (PMD) mereka ke dalam bas awam dan kereta api pada bila-bila masa.

Ini menyusuli satu tempoh percubaan selama enam bulan, yang bermula pada Disember lalu bagi menyediakan penumpang dengan satu lagi pilihan untuk menggalak perjalanan menggunakan basikal.

Demikian diumumkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) hari ini(28 Mei).

LTA menegaskan bahawa alat-alat, yang termasuk skuter elektrik satu roda unicycle dan papan hoverboard harus menepati ukuran yang ditentukan (120sm x 70sm x 4scm), manakala pengguna mesti mematuhi satu garis panduan yang ditetapkan.

Sebagai contoh, para pengguna harus memastikan bahawa alat-alat mereka itu dilipat apabila ditolak atau semasa dibawa.

Mereka juga perlu memegang alat tersebut dengan selamat supaya tidak menghalang pintu - pintu dan laluan-laluan, dan membungkus roda-roda yang kotor atau basah.

Alat-alat itu dilarang dibawa ke dek atas bas dan di tangga bas.

Pengguna yang tidak mematuhi peraturan-peraturan, yang boleh didapati sepenuhnya di laman web LTA, boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan dan denda sehingga S$500.

Pihak berkuasa juga akan bekerjasama dengan pengendali bas dan kereta api untuk meletakkan poster di stesen-stesen kereta api dan pusat pertukaran bas di seluruh Singapura mengenai peraturan dan garis panduan tersebut.

Semasa tempoh percubaan itu, LTA mendapati sekitar 15 hingga 20 penumpang yang membawa alat-alat PMD ke dalam kereta api dan bas semasa waktu sibuk, iaitu purata kurang dari 0.1 peratus daripada jumlah penumpang keseluruhannya.

Sebilangan besar penumpang juga menerima mereka yang membawa basikal lipat dan PMD dalam pengangkutan awam, kata LTA.

Tambahnya, mereka yang membawa alat-alat ini didapati menunjukkan sikap "bertanggungjawab dan mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan".

Sumber : Today/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan