Images
  • cancer researcher
    Gambar fail seorang pengkaji barah. (Gambar: AFP/Daniel Leal-Olivas) 

Pengkaji NUS kenal pasti strategi rawatan baru bagi barah ovari

SINGAPURA: Sebuah pasukan pengkaji daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) berhasil melakar strategi rawatan baru bagi para pesakit yang menghidap barah ovari di peringkat yang teruk.

Dalam satu kenyataan media hari ini (30 Nov), NUS menyatakan pasukan saintis daripada Institut Sains Barah Singapura (CSI Singapore) mengenal pasti satu cara untuk membendung jenis barah ovari yang diberi nama "Mes subtype" dari terus merebak dengan cara yang agresif, yang buat masa ini belum lagi mempunyai rawatan yang khusus.

Pasukan itu menjalankan eksperimen-eksperimen ke atas sel-sel barah ovari jenis Mes dan dapatannya memberikan gambaran bahawa membendung sejenis molekul yang diberi nama AXL mungkin satu pilihan rawatan yang berkesan bagi para pesakit.

Dr Ruby Huang, Ketua Penyiasat CSI Singapore, dan pasukan beliau mendapati bahawa AXL apabila diaktifkan boleh "berinteraksi" dengan protein-protein lain dalam sel untuk membentuk satu laluan bersel yang menyebabkan sel barah ovari merebak dengan agresif.

Di Singapura, barah ovari adalah barah kelima yang menyebabkan kematian di kalangan wanita yang menghidapi barah, dan di antara wanita yang didiagnosis menghidap barah antara 2010 hingga 2014, lima peratus daripada mereka menghidap barah ovari.

Menurut NUS, barah ovari adalah barah ginekologi yang paling berbahaya dan jenis barah ketujuh yang biasa dihidapi wanita merata dunia.

Barah ovari peringkat teruk di kalangan wanita adalah lebih sukar untuk dirawat. 

- CNA/ru

Top