Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengamat: Penangkapan Zulfikar boleh sebabkan golongan ekstremis cari wadah lebih sukar dikesan, satu strategi berkesan diperlukan

Malah para pengamat berkata, ia boleh menyebabkan golongan ekstremis mencari wadah lain yang lebih sukar untuk ditembusi.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengamat: Penangkapan Zulfikar boleh sebabkan golongan ekstremis cari wadah lebih sukar dikesan, satu strategi berkesan diperlukan

Zulfikar Mohamad Shariff, yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. (Gambar: Facebook)

SINGAPURA: Langkah menutup laman-laman yang menyebarkan idea radikal adalah wajar namun kesannya bersifat sementara.

Malah para pengamat berkata, ia boleh menyebabkan golongan ekstremis mencari wadah lain yang lebih sukar untuk ditembusi.

Minggu lalu pihak berkuasa mengumumkan, rakyat Singapura Zulfikar Mohamad Shariff ditahan kerana kegiatan-kegiatan berkaitan pengganasan.

Ini dikesan melalui kenyataan radikal yang dibuatnya secara online.

Tidak lama selepas penangkapannya diumumkan, laman Facebook Zulfikar tidak dapat lagi dikesan.

Semasa aktif, ia mengandungi catatannya yang berbaur ekstrim termasuk sokongannya terhadap kumpulan pengganas ISIS.

Bahan radikal di internet menjadi sumber pengaruh beberapa kes penangkapan berkaitan ISIS di Singapura.

Namun bezanya kali ini muncul bahan sedemikian yang ditulis oleh seorang warga Singapura yang menurut para pengamat mempunyai daya tarikannya tersendiri.

"Beza antara penulisannya dengan penulisan-penulisan radikal di luar sana adalah ada juga isu-isu yang dibangkitkan adalah isu-isu berkaitan dengan masyarakat Singapura - isu-isu berkaitan dengan tempatan misalnya cuba membangkitkan kemarahan terhadap institusi-institusi keagamaan di Singapura ini.

"Jadi ini kita lihat adalah satu perbezaan di antara penulisan-penulisan beliau dan sangat berbahaya kerana isunya bukan hanya isu global tetapi juga isu lokal," kata Norshahril Saat, zamil penyelidikan di ISEAS.

Pemeriksaan pihak kami mendapati, sudah muncul lelaman baru yang menerbitkan semula penulisan dan idea-idea radikal Zulfikar.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, selain menyokong ISIS dan jihad bersenjata, dia juga mengajak pengikutnya menolak sistem demokrasi negara sekular dan memperkenalkan negara Islam.

Kemunculan lelaman baru yang merangsang semula idea-idea radikal yang disebarkan Zulfikar menggambarkan cabaran mengawal idea-idea radikal di internet.

Zamil penyelidikan bersekutu RSIS Cik Azlin Mohamed Yasin berkata: "Bahan-bahan yang dipadamkan akan menjelma lagi di wadah yang berbeza, tetapi tetap ada. Kedua, penutupan sedemikian boleh memaksa jaringan pengganas menggunakan wadah lain, wadah yang mempunyai enkripsi dan meningkatkan daya keselamatan mereka.

"Ini boleh membutakan kami dari aktiviti pengganas. Ketiga, penutupan sedemikian seakan meletakkan garam pada luka si pengganas. Ia mengapikan lagi sikap benci terhadap kita yang memerangi mereka dan memberikan mereka seakan justifikasi kepada peperangan mereka terhadap kita."

Cik Azlin menekankan, bahan-bahan dan kandungan yang mengapi-apikan kebencian serta menggalakkan keganasan wujud di alam maya dalam pelbagai bentuk dan rupa.

Ini termasuk cara ISIS mempergunakan Islam dan membentangkan hujah mereka dengan cara yang sangat menarik.

Dalam hal ini, para pengamat berkata, satu strategi berkesan diperlukan bagi meningkatkan komunikasi di kalangan semua pihak berkepentingan untuk menangkis ideologi radikal yang disebar luaskan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan