Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Penembak', 'pengebom' serang Lapangan Terbang Changi; berbilang agensi bertindak terhadap serangan pengganas

Sedang rakyat Singapura tidur nyenyak pada awal pagi tadi (17 Okt), dua penembak bertopeng mencerobohi dan menyerang Stesen MRT Lapangan Terbang Changi.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 17 Oct 2017 09:11AM Dikemas Kini : 17 Oct 2017 10:10PM

SINGAPURA: Sedang rakyat Singapura tidur nyenyak pada awal pagi tadi (17 Okt), dua penembak bertopeng mencerobohi dan menyerang Stesen MRT Lapangan Terbang Changi.

Penyerang bersenjata itu turun dari kereta api lalu melepaskan tembakan secara rambang di platform yang penuh sesak dengan penumpang, yang menjerit meminta pertolongan dan lari bertempiaran.

Serangan yang dilakonkan ini menandakan bermulanya Latihan Northstar, iaitu sebahagian daripada usaha untuk menguji tahap respons pelbagai agensi terhadap serangan pengganas di Singapura.

Diterajui oleh Pasukan Polis Singapura (SPF), latihan edisi ke-10 ini melibatkan lebih 650 kakitangan daripada Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan agens-agensi lain.

Dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyaksikan latihan tersebut, para pegawai dari Kawalan Keselamatan Pengangkutan Awam berjaya melenturkan serangan pengganas itu, dengan pagar tambang stesen dibuka bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perlindungan.

"Latihan seperti Northstar 10 Fasa 1 ini membolehkan SPF dan agensi-agensi lain untuk berlatih secara bersama dan menguji respons keselamatan pelbagai agensi terhadap ancaman pengganasan," kata pengarah (operasi) SPF Penolong Pesuruhjaya (AC) How Kwang Hwee.

"Keupayaan untuk bekerja dengan baik bersama pihak-pihak yang berkepentingan daripada sektor swasta dan awam, dalam hal ini sektor penerbangan, amat penting bagi memastikan respons yang berkesan terhadap sebarang serangan."

Sudah tentunya sektor swasta terlibat sama, dengan kakitangan SMRT memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa yang terbaring di lantai.

Namun demikian, mimpi ngeri ini ternyata belum berakhir lagi.

Di dewan keberangkatan pula, seorang pengebom nekad yang memakai jaket kelabu meletupkan dirinya, yang mengakibatkan ramai orang cedera.

"Dengan kesan-kesan letupan dan bunyian, ia benar-benar mewujudkan suasana serangan yang dahsyat," kata Staf Sarjan Kanan Norshidah Sulaiman, responden pertama daripada Divisyen Polis Lapangan Terbang Changi.

"Perkara yang paling menghairahkan ialah dapat merasakan situasi yang realistik. Sekurang-kurangnya kita ada latihan, dan diberikan taklimat dan tahu apa yang patut dilakukan."

Beliau yang berusia 38 tahun itu, berlatih sebanyak tiga kali sebelum menyertai latihan besar-besaran ini dan menekankan bahawa latihan tersebut penting bagi menangani ancaman pengganasan.

"Dengan apa yang kita pelajari, kita boleh terapkannya apabila tiba masanya," tambah beliau.

Serangan tersebut turut dilakonkan di kawasan menunggu, di mana kehadiran beg yang mencurigakan mendorong Pasukan Perlindungan Bahan Kimia, Biologi, Radiologi dan Letupan SAF. Pasukan tersebut mengerahkan robot untuk menghapuskan bahan letupan di dalam beg tersebut.

Di dewan keberangkatan pula, pegawai SPF dari Divisyen Siasatan Bom dan Bahan Letupan mengumpul bukti forensik dan mendokumentasikan serpihan tubuh pengebom nekad, yang turut disaksikan sendiri oleh PM Lee dan para Menteri Kabinet.

Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean, Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugan, Menteri Pertahanan Ng Eng Hen dan Menteri Pendidikan (Sekolah) Ng Chee Meng turut hadir untuk menyaksikan latihan tersebut.

Mereka kemudian dibawa ke bahagian luar di mana pusat bantuan kecemasan dan ambulans disediakan untuk "merawat mangsa dan menyelamatkan mereka," menurut seorang doktor yang mengetuai pasukan tersebut.

Pasukan perubatan daripada hospital-hospital swasta dan paramedik SCDF bergegas ke kawasan tersebut, yang diasingkan berdasarkan kod warna bergantung kepada tahap kecederaan yang dialami. Pemindahan mangsa turut diselaraskan bagi memastikan jumlah mangsa dapat ditampung oleh hospital-hospital tempatan.

"Kami akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan agensi lain untuk memperbaiki langkah-langkah bagi melindungi Lapangan Terbang Changi dan prasarana-prasarana utama, dan memastikan tindakan yang pantas jika berlakunya serangan," kata AC How.

Fasa kedua Latihan Northstar, yang diterajui oleh SCDF akan dijalankan pada 28 Oktober.  

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan