Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penduduk Punggol bimbang tentang kotak tanaman yang dikhuatiri membiak nyamuk

"NEA sedang bekerjasama dengan majlis bandaran bagi menangani masalah air bertakung dalam kotak tanaman di estet tersebut," kata seorang jurucakap NEA.

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk Punggol bimbang tentang kotak tanaman yang dikhuatiri membiak nyamuk

Kotak tanaman yang kelihatan menjadi tempat pembiakan nyamuk di Punggol. (Gambar: Jalelah Abu Baker)

Diterbitkan : 27 Apr 2017 08:56AM Dikemas Kini : 27 Apr 2017 08:57AM

SINGAPURA: Sebuah kotak tanaman yang kelihatan menjadi tempat pembiakan nyamuk membuat sesetengah penduduk Punggol menjadi bimbang.

Mereka berpendapat air yang bertakung dalam kotak tersebut antara Blok 289C dan 289D di Punggol Place adalah punca yang menyebabkan lebih banyak nyamuk dan kesan gigitan pada diri mereka dan anak-anak mereka.

Seorang penduduk, Lim Chin Tiong, 45 tahun, mencari kawasan air yang bertakung itu semalam (26 Apr) selepas anak lelaki beliau demam dan sakit badan.

Beliau bimbang jika anaknya yang berusia 13 tahun itu menunjukkan tanda-tanda dijangkiti denggi.

Doktor menasihati mereka supaya berwaspada jika anaknya mengalami ruam.

Beliau menghubungi Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol dengan serta merta untuk memaklumkan isu itu.

Beliau mahu membubuh minyak ke dalam air untuk membunuh jejentik, tetapi bimbang ia akan merosakkan pokok itu, tambahnya.

Dalam responsnya kepada soalan-soalan yang diajukan pihak media, jurucakap majlis bandaran itu berkata membubuhkan minyak akan merosakkan pokok itu dan perkara sedemikian "tidak digalakkan".

Beliau menambah bahawa para penduduk seharusnya menghubungi majlis bandaran dengan serta merta jika mereka mengesan sebarang tempat pembiakan nyamuk.

Beliau menjelaskan air yang bertakung itu mungkin disebabkan tanah yang padat, kerana kotak tanaman berkenaan tidak dilengkapi dengan lubang saliran.

NEA menyatakan pihaknya menerima maklum balas mengenai pembiakan nyamuk di kawasan antara Blok 289C dan 289D.

"NEA sedang bekerjasama dengan majlis bandaran bagi menangani masalah air bertakung dalam kotak tanaman di estet tersebut," kata seorang jurucakap NEA. 

Sumber : CNA/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan