Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah gesa syarikat minuman ringan kurangkan gula

Pemerintah menggesa pengeluar minuman ringan untuk bersetuju mengurangkan kandungan gula dalam semua minumannya yang dijual di Singapura, sebagai sebahagian daripada usaha terbarunya dalam menangani kencing manis.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah gesa syarikat minuman ringan kurangkan gula

(Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 21 Aug 2017 08:54AM Dikemas Kini : 21 Aug 2017 09:00AM

SINGAPURA: Pemerintah menggesa pengeluar minuman ringan untuk bersetuju mengurangkan kandungan gula dalam semua minumannya yang dijual di Singapura, sebagai sebahagian daripada usaha terbarunya dalam menangani kencing manis.

Mengumumkan demikian semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan pada malam Ahad (20 Ogos), Perdana Menteri Lee Hsien Loong merujuk kepada bahaya tersembunyi dengan pengambilan terlalu banyak minuman ringan, memandangkan ia mengandungi jumlah gula halus yang tinggi.

"Hanya satu tin minuman ringan saja boleh mengandungi lapan kiub gula... Itu adalah lebih banyak daripada apa yang diperlukan sehari," katanya.

Meminum minuman ringan setiap hari boleh menyebabkan "jumlah gula yang sarat" dalam tubuh dan meningkatkan risiko kencing manis dengan ketara, dedahnya.

Satu daripada sembilan rakyat Singapura menghidap kencing manis dan PM Lee mengatakan bahawa ia adalah salah satu penyakit utama yang menyebabkan tahap kesihatan kurang baik di kalangan warga lanjut usia di sini.

Kanak-kanak adalah golongan yang paling mudah terjejas kerana "minuman ringan adalah sebahagian daripada gaya hidup mereka", kata Encik Lee. Dengan kes kencing manis yang kian meningkat di kalangan golongan muda, termasuk kanak-kanak, ini dapat menyebabkan "bahaya terhadap kesihatan mereka."

Meskipun kantin sekolah hanya boleh menjual minuman yang mengandungi kadar gula tidak melebihi 6 peratus, ini tidak banyak membantu dalam menghuraikan masalah, katanya, kerana kanak-kanak masih boleh membeli minuman manis di kedai runcit di luar kawasan sekolah.

Pemerintah masih "mencari-cari huraian", dedahnya.

Awal dari itu, Pusat R&D Nestle Singapura mengisytiharkan komitmennya bagi mengurangkan kandungan gula dan garam dalam produknya menjelang 2020.

Syarikat makanan dan minuman juga sedang menimbangkan untuk mengurangkan kandungan gula sebanyak lima peratus, dan garam sebanyak 10 peratus dalam masa tiga tahun akan datang, menurut syarikat itu awal bulan ini. Pusat itu memantau perkembangan beberapa jenama termasuk Milo, Nescafe dan Maggi.

Encik Lee akur bahawa tiada seorang pun yang sudah menjumpai "huraian sempurna” setakat ini, meskipun beliau mengatakan bahawa pemerintah bersedia untuk mengkaji dan melaksanakan idea yang bernas.

Beliau mengakui bahawa meskipun pengeluar minuman ringan mengurangkan kadar gula dalam produknya, hakikatnya, apa yang dipilih seseorang itu adalah "hak peribadi".

Dengan menggesa rakyat Singapura supaya menukar kepada meminum air putih, Encik Lee berkata:" (Ini) memerlukan komitmen, dan penyesuaian kepada tabiat kita, gaya hidup kita, dan diet... Tetapi hasilnya lumayan, dan ia boleh dilakukan."

Sumber : Today/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan