Images
  • Gaye Alassane
    Gaye Alassane. (Gambar: Facebook)

Pemerintah lucutkan kerakyatan lelaki terlibat dalam sindiket kelong bola sepak

SINGAPURA: Seorang warga asing berusia 43 tahun, yang menjadi warga Singapura dilucutkan kerakyatannya.

Demikian menurut Kementerian Dalam Negeri (MHA) pada Khamis (7 Dis).

Mediacorp difahamkan lelaki tersebut adalah warga kelahiran Mali, Gaye Alassane, bekas pemain bola sepak Liga S.

Kenyataan penuh MHA adalah seperti berikut:

Seorang warga asing berusia 43 tahun yang menjadi rakyat Singapura dikenakan Notis Pelucutan Kewarganegaraan di bawah Artikel 133(1) bagi Perlembagaan ("Notis Pelucutan Diusulkan") pada 7 Disember 2017.

Individu tersebut menerima kerakyatan Singapura (SC) selepas mendaftar pada tahun 2003 melalui Skim Talian Keluarga. Semasa pemohonan SC dibuat, tiada maklumat menunjukkan dia terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah.

Bagaimanapun, semasa menjadi rakyat Singapura, individu ini menjadi anggota yang aktif dan dipercayai bagi sindiket kelong bola sepak antarabangsa yang bermula dan bertapak di Singapura. Individu itu dan anggota sindiketnya menggunakan Singapura sebagai hab untuk menjalankan kegiatan kelong utama di peringkat dunia.

Semasa menjadi rakyat Singapura, individu itu bersubahat dengan anggota sindiketnya untuk menetapkan keputusan perlawanan bola sepak di pelbagai negara dengan memberi rasuah kepada para pegawai dan pemain. Sebagai sebahagian daripada komplot ini, individu ini juga melakukan perjalanan ke negara-negara ini dari Singapura bagi kegiatan kelong.

Tambahan itu, individu tersebut menyambut dan memupuk hubungan dengan warga asing di Singapura bagi menarik mereka ke dalam kegiatan sindiket kelongnya.

Dia membantu memindahkan wang sogok bagi sindiketnya ke Singapura, dan mengirim ke luar negara - dan juga menghantar sendiri - wang sogokan ini dari Singapura untuk memudahkan kegiatan sindiket kelongnya.

Perbuatannya yang berbentuk satu jenayah serius bukan sahaja menjejas integriti sistem kewangan Singapura, tetapi juga undang-undang dan peraturannya.

Para saksi takut untuk memberikan keterangan terhadap individu itu dan anggota sindiketnya di mahkamah terbuka kerana bimbang akan sebarang tindak balas.

Atas penglibatannya dalam kegiatan jenayah yang menjejas keselamatan, keamanan dan ketenteraman awam (PSPGO) Singapura, individu ini dikenakan Perintah Pemantauan Polis, di bawah Undang-Undang Jenayah Akta (Peruntukan Sementara).

Perlembagaan ini memberi kuasa kepada Pemerintah untuk melucutkan mana-mana rakyat Singapura melalui pendaftaran atau proses melucutkan SC mereka. MHA sebelum ini pernah mengambil tindakan yang sama ke atas rakyat Singapura kerana melakukan tindakan jenayah yang menjejas kepentingan PSPGO Singapura.

Rakyat Singapura diberikan keistimewaaan dan manfaat, serta tanggungjawab dan tuntutan. Individu yang diberikan SC harus menghargainya dan tidak melakukan tindakan yang melanggar kepentingan negara. Mereka yang menjalankan kegiatan yang menjejas keselamatan atau PSPGO harus dilucutkan status kerakyatan mereka.

Memandangkan tahap serius tindakan individu ini dan kesan bahaya tindakannya terhadap PSPGO di Singapura, Menteri Ehwal Dalam Negeri berhasrat untuk melucutkan kerakyatannya.

Ini selepas pertimbangan sewajarnya dan mengambil kira operasi sindiket kelong bola sepak antarabangsa tersebut, tahap penglibatannya dalam sindiket itu, teruknya kesan kegiatan jenayahnya, dan demi kepentingan awam.

Individu itu boleh memohon bagi kesnya untuk dirujukkan kepada Jawatankuasa Siasatan Kewarganegaraan (CCOI) dalam masa 21 hari bermula tarikh penerimaan Notis Pelucutan Diusulkan itu. CCOI kemudian akan mengadakan siasatan dan menyerahkan laporan kepada Menteri Dalam Negeri yang kemudian menentukan sama ada untuk meneruskan pelucutan kerakyatannya.

Jika kerakyatan individu ini dilucutkan, dia tidak mempunyai kerakyatan mana-mana negara.

Dia perlu tinggal di Singapura menggunakan Pas Istimewa yang diberikan oleh ICA. Dia tidak dapat menikmati keistimewaan yang diberikan kepada rakyat Singapura, secara khususnya, dia tidak akan dibenarkan untuk memohon bagi pasport Singapura.

- CNA/IM/im

Top