Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerhati: Penjelasan PM Lee tanda pindaan Presiden Dipilih penting

Para pemerhati berpendapat bahawa penjelasan Perdana Menteri Lee Hsien Loong tentang perubahan pada sistem Presiden Dipilih menandakan ia satu pindaan yang penting dan rumit.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pemerhati berpendapat bahawa penjelasan Perdana Menteri Lee Hsien Loong tentang perubahan pada sistem Presiden Dipilih (EP) menandakan ia satu pindaan yang penting dan rumit.

PM Lee menyentuh tentang beberapa langkah yang akan dilaksanakan supaya Singapura mempunyai seorang Presiden dari kaum minoriti. Antaranya, beliau menyarankan sebuah pilihan raya diperuntukkan untuk calon minoriti bagi setiap 4 hingga 6 penggal.

PM Lee berkata perubahan sedemikian belum pernah dilaksanakan sebelum in - khususnya, melibatkan peruntukan untuk kaum minoriti dilantik sebagai Presiden.

PEMERHATI: PINDAAN PALING BESAR PERNAH DILAKUKAN PEMERINTAH

Sesetengah pemerhati melihatnya sebagai satu pindaan paling besar yang pernah dilakukan Pemerintah. Bahkan, ia memerlukan persetujuan dua pertiga Anggota Parlimen.

Seorang peguam menekankan pentingnya untuk syarat-syarat perlembagaan yang dipinda disebut secara terperinci dan tidak terbuka kepada pelbagai penafsiran.

Peguam, Abdul Rohim Sarip, berkata: "Jadi interpretasi itu adalah jelas, tepat dan tiada orang mengatakan mungkin saya yang layak ataupun tahun ini mungkinkah saya boleh dipilih sebagai Presiden. Itu semua, kita tidak mahu ada kekeliruan. Itu yang penting.

"Jadi saya rasa PM mahu memastikan keadaan demikian tidak akan berlaku, dan semua tahu tentang peranan, semua tahu tentang tujuan mengapa perlembagaan ini dipinda."

Menjelaskan tentang ciri-ciri pindaan itu, PM Lee menyarankan sebuah pilihan raya bagi calon minoriti diadakan setiap 4 hingga 6 penggal. Jika tiada calon minoriti yang sesuai, jawatan itu akan dibuka kepada calon-calon lain, dan pilihan raya diadakan secara bebas.

"KEMUNGKINAN BESAR PRESIDEN SETERUSNYA DARI KAUM MINORITI"

Zamil ISEAS-Institut Yusof Ishak, Dr Mustafa Izzuddin, berkata: "Dari wawancara itu, saya rasa kemungkinan besar presiden seterusnya itu selepas Dr Tony Tan, Presiden itu akan datang dari kaum minoriti, dan lebih-lebih lagi dari masyarakat Melayu/Islam."

Kali terakhir Singapura mempunyai seorang presiden Melayu ialah 46 tahun lalu, iaitu Presiden Yusof Ishak.

PM Lee berkata pindaan perlembagaan akan dikuatkuasakan sebelum pilihan raya Presiden akan datang. Ini harus diadakan pada atau sebelum 26 Ogos 2017. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan