Images
  • pageant1
    Para finalis 'Mrs & Ms Singapore Malays International 2018' bersama jawatankuasa pertandingan. (Gambar: Teen & Miss & Mrs Malays International)

Pemenang 'Mrs & Ms Singapore Malays International' ditabal malam ini

SINGAPURA: Seramai 13 ratu Melayu bakal mengejar dua gelaran juara pada peringkat akhir 'Mrs & Ms Singapore Malays International 2018' malam ini (16 Sep).

Lapan daripada mereka akan bertanding dalam kategori 'Ms' manakala lima yang lain pula dalam kategori 'Mrs'.

Diadakan buat kali-4, pertandingan ratu cantik tahunan itu akan berlangsung di Hotel Amara bermula jam 7.00 malam.

Dianjurkan oleh Queens BC Pte Ltd, pertandingan tersebut bertujuan "memberi peluang kepada wanita untuk menjadi lebih yakin, elegan dan celik budaya".

Menurut lamannya di Facebook, ia juga bagi membolehkan para wanita untuk menjadi peran contoh kepada rakan sebaya dan para belia.

Pengarah Nasional pertandingan tersebut serta pemilik Queens BC Pte Ltd, Cik Sabrina Samri memberitahu BERITAMediacorp: "Kami mahu memecah stereotaip tentang pertandingan ratu cantik. Bila orang kata pertandingan sebegini hanya melihat pada kecantikan luaran, sebenarnya tidak.

"Bagi mereka yang bergelar ibu atau yang sudah berkahwin, ia juga memberi platform kepada mereka untuk melakukan kerja amal dan menjadi inspirasi kepada wanita lain kerana dapat mengimbangi masa mereka dengan baik."


(Gambar: Teen & Miss & Mrs Malays International)

Tahun ini, para peserta berpeluang untuk bekerjasama dengan badan amal Rumah Tumpangan Wanita Casa Raudha menjelang peringkat akhir pertandingan.

Malah, persiapan pertandingan sudahpun bermula sejak April tahun ini dan beberapa acara turut diadakan bagi mengumpulkan dana bagi badan amal tersebut.

Melalui pengumpulan dana semasa 'Hi-tea' Hari Ibu anjuran Queens BC Pte Ltd dan penjualan kuih raya tahun ini, para peserta berjaya mengumpul sejumlah S$7,000 untuk disumbangkan kepada Rumah Tumpangan Wanita Casa Raudha.

Jumlah ini juga termasuk 20 peratus daripada penjualan 120 tiket bagi acara peringkat akhir malam ini.

Awal dari itu, para pengguna Facebook boleh mengundi peserta kegemaran mereka di laman 'Teen & Miss & Mrs Malays International' bagi merangkul gelaran 'Ms & Mrs Popularity'.

Undian selama seminggu itu ditutup semalam.

Acara tersebut juga bakal dihoskan oleh personaliti tempatan Era Farida.

Kesemua 120 tiket sudahpun habis dijual. 

PARA FINALIS KATEGORI 'MRS'



PARA FINALIS KATEGORI 'MS'


- BERITAMediacorp/im

Top