Images
  • construction worker
    Pekerja binaan terjatuh dari bangunan di tapak binaan perumahan pada Jumaat dan meninggal dunia. (Gambar fail: TODAY)

Pekerja terjatuh, maut di tapak binaan Canberra Drive

SINGAPURA: Seorang pekerja binaan terjatuh dari sebuah bangunan di tapak binaan perumahan yang terletak di 513 Canberra Drive dan meninggal dunia pada Jumaat (14 Jul).

Pekerja yang berusia 41 tahun itu sedang menyelia tiga pekerja lain yang sedang menyiapkan dan memasang sebuah unit bilik mandi apabila beliau terjatuh, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam kenyataannya pada Sabtu.

Polis dimaklumkan mengenai insiden tersebut pada 1.47 tengah hari Jumaat. Lelaki berkenaan ditemui dalam keadaan terbujur kaku di lantai dan pasukan paramedik mengesahkan beliau meninggal dunia di tempat kejadian.

Warga China itu adalah seorang pekerja di Zong Yang Pte Ltd dan kontraktor utamanya adalah Qingdao Construction (Singapore) Pte Ltd.

Pihak polis dan MOM sedang menyiasat insiden tersebut. Insiden itu juga adalah kes kematian kedua di tapak binaan pada Jumaat.

Dalam kes berasingan pada hari yang sama, seorang pekerja maut dan 10 yang lain cedera selepas sebuah struktur jejambat yang sedang dibina runtuh pada awal pagi Jumaat.

Jejambat itu turut menghubungkan Lebuh Raya Tampines (TPE) dengan Lebuh Raya Rentas Pulau (PIE).

- TODAY/CNA/im

Top