Pekerja pengangkutan terima latihan kecemasan dalam inisiatif anti-pengganasan
Pekerja-pekerja pengangkutan di Singapura mungkin diwajibkan menghadiri kursus-kursus seperti kemahiran memberikan bantuan kecemasan.
SINGAPURA: Pekerja-pekerja pengangkutan di Singapura mungkin diwajibkan menghadiri kursus-kursus seperti kemahiran memberikan bantuan kecemasan.
Ini sejajar dengan usaha Singapura meningkatkan tahap keselamatan dan kesediaan negara daripada ancaman pengganasan.
Demikian menurut Setiausaha Eksekutif NTWU Melvin Yong.
Bercakap kepada para wartawan di seminar pertama bagi keselamatan pengangkutan yang diadakan hari ini (2 Dis), Encik Yong berkata, sistem pengangkutan awam Singapura dikenal pasti sebagai sasaran mudah pihak pengganas kerana ia dinaiki oleh berjuta rakyat Singapura setiap hari.
"Penting bagi semua pekerja pengangkutan mencapai satu tahap latihan bantuan kecemasan, kerana mereka berpotensi menjadi penyelamat nyawa," kata Encik Yong.
Tambah beliau lagi: "Pada masa terdekat, kita boleh cuba mengusulkan agar latihan diwajibkan ke atas semua pekerja pengangkutan."
Seminar itu berlangsung dua bulan selepas Perdana Menteri Lee Hsien Loong melancarkan gerakan SGSecure. Ia merupakan sebuah kempen bagi membantu rakyat bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Hari ini (2 Dis), pekerja-pekerja pengangkutan menghadiri beberapa sesi ceramah oleh pakar-pakar industri yang berkongsi cara-cara menghalang, bertindak dan memberi respon kepada serangan pengganasan di Singapura.
Pengendali bas Tower Transit yang mempunyai khidmat-khidmat bas di United Kingdom, turut berkongsi beberapa pengalaman tentang pengurusan krisis ekoran kejadian letupan bom di London pada tahun 2005.
Pengarah Operasi Tower Transit, Stuart Thomas mengatakan, penting pekerja pengangkutan di semua peringkat, dilatih dalam pencegahan sebarang ancaman.
"Penting bagi kita mempunyai rancangan yang kukuh yang boleh digunakan pada bila-bila masa supaya orang ramai berasa yakin dan dapat menjalankan peranan mereka," kata Encik Thomas.
Di seminar itu, para pekerja turut meraih kemahiran baru seperti menggunakan barangan seharian seperti tali pinggang dan tali kasut untuk mengikat bahagian tubuh yang cedera dan menghalang pendarahan teruk.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.