Images
  • person hold knife
    Gambar hiasan.

Pekerja binaan dijel, disebat kerana kelar teman sebilik dengan "kejam"

SINGAPURA: Seorang pekerja asing berusia 20 tahun dijatuhi hukuman penjara tiga setengah tahun dan enam kali rotan hari ini (6 Dis) kerana menyerang dengan "kejam" teman asrama sebilik dengan sebilah pisau pemotong, sekaligus mencederakannya dengan parah.

Arunachalam Manikandan, seorang warga India, mengelar Ganesan Arunprakash, 21 tahun di leher dan dadanya beberapa kali menyusuli satu pertengkaran. Kedua-duanya merupakan pekerja binaan yang tinggal di Sungei Tengah Lodge di Chua Chu Kang Road.

Menurut dokumen mahkamah, Arunachalam dalam keadaan mabuk apabila dia pulang ke asramanya sekitar tengah malam pada 21 Mac tahun ini. Encik Ganesan ternampak dia muntah dan memberitahunya supaya membersihkan lantai yang dikotori itu. Arunachalam enggan berbuat demikian. Kedua-duanya kemudian bertengkar.

Penyelia mereka campur tangan apabila terdengar pertengkaran mereka dan memberitahu Arunchalam untuk membersihkan muntahnya itu. Beliau turut mengarah mereka untuk merendahkan suara mereka sebelum menutup lampu dan meninggalkan bilik berkenaan. Namun, Arunachalam tetap enggan membersihkan lantai dan sebaliknya menutup muntahnya dengan cadar.

Dokumen mahkamah menyatakan bahawa Arunachalam mengambil masa untuk "merenungkan" sikap Encik Ganesan sebelum itu. Dia rasa bahawa teman sebiliknya yang selalu bertengkar dengannya "mengarah-arahkannya di hadapan orang ramai".

Arunachalam kemudian menjadi berang. Dia terus mengambil pisau pemotong sepanjang 30 sentimeter yang disimpannya dalam bilik bersama perkakas-perkakas dapur yang lain.

Dia menghampiri mangsa yang sedang berbaring di atas katil dan mengelar lehernya berkali-kali dalam gelap.

Encik Ganesan menjerit kesakitan sekaligus mengejutkan teman sebilik yang lain yang bergegas membantunya dan merampas pisau pemotong itu daripada tangan Arunachalam.

Encik Ganesa dirawat di Hospital Universiti Nasional (NUH). Pendakwa raya berkata bahawa kecederaan yang dialaminya boleh membawa maut kerana salah satu daripada kelaran tersebut dekat dengan saluran pernafasannya.

Pihak pendakwa raya memohon hukuman penjara sekurang-kurangnya empat tahun dan enam kali sebat kerana Arunachalam menyebabkan kecederaan yang teruk menerusi serangan kejam dan patut dikeji.

Seseorang yang didapati bersalah menyebabkan kecederaan parah dengan sengaja boleh menghadapi hukuman penjara seumur hidup dengan denda ataupun rotan.  

- CNA/SM/sm

Top