Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pejabat baru Negara Bijak dan Pemerintah Digital dibentuk 1 Mei ini

Kakitangan dari pasukan digital dan teknologi di beberapa kementerian akan menubuhkan sebuah pejabat baru yang bertanggungjawab bagi transformasi digital dalam perkhidmatan awam pada 1 Mei, menurut Pejabat Perdana Menteri pada Isnin (20 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Mar 2017 03:42PM Dikemas Kini : 20 Mar 2017 11:34PM

SINGAPURA: Kakitangan dari pasukan digital dan teknologi di beberapa kementerian akan menubuhkan sebuah pejabat baru yang bertanggungjawab bagi transformasi digital dalam perkhidmatan awam pada 1 Mei, menurut Pejabat Perdana Menteri pada Isnin (20 Mac).

Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGO), akan dibentuk di bawah naungan Pejabat Perdana Menteri.

Ia merangkumi kakitangan dari Kementerian Kewangan, jabatan Dasar Teknologi Pemerintah Kementerian Perhubungan dan Penerangan serta Pejabat Program Kebangsaan Negara Bijak.

Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) juga akan ditempatkan di bawah Pejabat Perdana Menteri sebagai agensi pelaksanaan SNDGO.

GovTech dan SNDGO akan sama-sama menubuhkan Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG).

Antara tugas SNDGG termasuk menggalak transformasi digital bagi perkhidmatan awam untuk mengukuhkan lagi prasarana teknologi maklumat dan komunikasi.

Kumpulan tersebut juga akan menerajui pembangunan rangka kerja identiti digital negara bagi memudahkan sistem urus niaga digital serta platform kebangsaan untuk menyokong penggunaan aplikasi 'Internet of Things' agensi-agensi pemerintah, yang menghubungkan barangan peribadi seperti kereta, alat kesihatan dan peralatan rumah kepada Internet.

Ia akan bekerjasama dengan beberapa agensi pemerintah lain, perusahaan dan orang ramai untuk memanfaatkan teknologi bagi membaiki kehidupan rakyat Singapura dalam bidang-bidang seperti mobiliti bandar, menurut Pejabat Perdana Menteri.

Sebagai contoh, SNDGG akan bekerjasama dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk meningkatkan pengangkutan awam, menaik taraf logistik bandar dan mengurangkan kesesakan.

Ia juga akan membangunkan kerja-kerja yang sedang dijalankan oleh GovTech untuk meningkatkan perkongsian data melalui portal data.gov.sg dan bekerjasama dengan Penguasa Kewangan Singapura untuk mempromosikan bayaran secara online.

NG CHEE KHERN BAKAL SANDANG JAWATAN SETIAUSAHA TETAP SNDGG

Setiausaha Tetap Pembangunan Pertahanan di Kementerian Pertahanan Ng Chee Khern akan turut menerajui SNDGG sebagai Setiausaha Tetap mulai 1 Mei.

SNDGG akan diselia oleh jawatankuasa peringkat menteri yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean.

Menteri Perhubungan dan Penerangan Yaacob Ibrahim akan bertindak sebagai timbalan pengerusi.

Anggota jawatankuasa yang lain termasuk Menteri Bertanggungjawab bagi inisiatif Negara Bijak Vivian Balakrishnan, Menteri Pendidikan Tinggi dan Kemahiran Ong Ye Kung - yang dilantik untuk menyokong inovasi di perkhidmatan awam, dan Menteri Negara bagi Perhubungan dan Penerangan merangkap Pendidikan Janil Puthucheary, yang juga akan menjadi Menteri Bertanggungjawab bagi GovTech.

Encik Ng juga akan mengekalkan jawatannya selaku pengerusi Lembaga GovTech, yang akan menyelia operasi GovTech dan memberi panduan bagi usaha agensi tersebut untuk menyokong inisiatif Negara Bijak dan pemerintah digital, menurut Pejabat Perdana Menteri.

Sumber : CNA/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan