Images
  • bus interchange
    Gambar fail TODAY.

Pegawai penjara didenda S$2,000 kerana mencederakan jurujual kad kredit

SINGAPURA: Nur Azam Abdul Rahman, 31 tahun, seorang pegawai penjara didapati bersalah kerana menyebabkan kecederaan pada seorang jurujual kad kredit.

Azam menumbuk dan menendang kepala jurujual kad kredit itu kerana marah disoal mengenai kerakyatannya.

Dia didenda $2,000 oleh Mahkamah Negara pada hari Khamis (18 Mei).

Menurut mahkamah, pada 16 April tahun lalu, Azam dihampiri Encik Cheng Chin Lin, seorang pegawai penjualan United Overseas Bank (UOB), di pusat pertukaran bas Tampines.

Encik Cheng, 24 tahun, kemudian menanyakan Azam jika dia adalah seorang warga Singapura atau penduduk tetap di sini (PR), soalan yang biasa ditanya dalam tugas beliau.

Tersinggung dengan soalan Encik Cheng, Azam menyoal balik: "Adakah saya kelihatan sebagai penduduk tempatan Singapura?"

Encik Cheng cuba menenangkannya, namun Azam sebaliknya menyerang Encik Cheng.

Semasa pergelutan itu, Encik Cheng cuba untuk berpegang kepada beg Azam untuk menghalang beliau daripada melepaskan diri, tetapi itu menyebabkan Azam menumbuk dan menendangnya bertubi-tubi.

Telefon bijak Encik Cheng turut tercampak.

Laporan doktor menunjukkan Encik Cheng melecet dan lebam di beberapa bahagian badan, termasuk muka dan lengan beliau.

Majikan Azam, Jabatan Penjara Singapura akan mengambil tindakan disiplin terhadapnya, sambil menyatakan pihaknya "memandang serius terhadap sebarang salah laku oleh kakitangan jabatan tersebut".

"Semua pegawai kami dikehendaki mengekalkan tahap disiplin dan tingkah laku yang tinggi. Berikutan sabit kesalahan terhadap Nur Azam Ab Rahman di mahkamah hari in, kami akan menjalankan tindakan disiplin terhadapnya," menurut satu kenyataan media pada Khamis malam.

Azam boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sebanyak S$5,000 atau kedua-duanya.  

- TODAY/ns

Top
>