Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasar Geylang Serai kini di jari-jemari anda

Wetmarketonthego.com memeta urus niaga masa depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasar Geylang Serai kini di jari-jemari anda

Diah Hashim dan Hafiz Mohamed Shariff Maricar, para pemilik dan pengurus wetmarketonthego.com. (Gambar: wetmarketonthego.com)

SINGAPURA: Menjelang Hari Raya ini, pasti ramai di kalangan kaum Hawa yang sibuk membuat persiapan Lebaran selain menyediakan hidangan untuk jamuan berbuka. Malah, tidak kurang juga para ibu yang berusaha untuk mendapatkan kelengkapan Lebaran selain menguruskan anak-anak.

Pendek kata, kaum Hawa adakalanya tidak menang tangan untuk melakukan segala persiapan bagi Hari Raya yang bakal menjelang.

Bagaimanapun, dengan adanya pelbagai kemudahan mudah alih dewasa ini, lebih ramai individu yang kian memanfaatkan teknologi bagi memudahkan kerja rumah. Bahkan, terdapat pelbagai usaha yang dijalankan bagi membantu meringankan beban selain menjimatkan masa dan tenaga masyarakat kita.

Salah satu usahanya adalah laman wetmarketonthego.com, yang berkonsepkan ala pasar Geylang Serai di alam maya!

Malah, laman tersebut juga adalah satu-satunya khidmat penghantaran ke rumah bagi barang-barang runcit dari para pegerai di Pasar Geylang Serai, khususnya.

Oleh itu, para pelanggan kini tidak lagi perlu membimbit plastik-plastik berisi daging, ikan mahupun ayam, tetapi kini hanya perlu menekan butang di alat mudah alih dan semua barangan akan dihantar ke rumah anda!

PENGALAMAN DAN KEPAKARAN PENCETUS IDEA

Dilancarkan pada Mei lalu, para pengasas wetmarketonthego.com berusaha gigih bagi menjalankan operasi dari 11.00 pagi hingga 7.00 malam.

Cik Diah Hashim, 36 tahun, pemilik dan pengurus bersama wetmarketonthego.com memberitahu BERITAMediacorp: "Kami lakukannya secara lebih peribadi. Kita tidak mahu para pelanggan merasakan mereka berurus niaga dengan sebuah syarikat. Saya mahu memberikan rasa muhibah apabila mereka berinteraksi dengan saya."

Malah, mereka bukan sahaja menghantar barang-barang runcit halal seperti sayur-sayuran, makanan laut dan daging, tetapi juga bahan masakan kering seperti udang kering, ubi parut dan santan kelapa segar.

Tunangnya, Encik Hafiz Mohamed Shariff Maricar, 36 tahun, juga pemilik dan pengurus wetmarketonthego.com, turut berkata bahawa mereka mengambil masa sekitar tiga bulan untuk mengembangkan idea tersebut.

"Terdapat pelbagai kaum yang berbelanja di Pasar Geylang Serai. Arus perniagaan terus berubah dan para pelanggan kami merangkumi orang Filipina, 'mat salleh', Cina dan India.

"Oleh itu, saya fikir sebabnya kami menubuhkan laman yang tidak dalam bahasa Melayu sepenuhnya tetapi termasuk bahasa Inggeris. Dan kami sertakan penjelasan bahan-bahan. Jadi, mereka yang mahu cuba masakan Melayu di rumah boleh membuat pesanan menerusi laman kami," tambah beliau.

Malah, Cik Diah turut menggabungkan usaha tersebut dengan kepakarannya dalam bidang pemasaran dan pengurusan menerusi kerjaya sebagai seorang arkitek semasa bermastautin selama lapan tahun di Jerman.

RENTAK PERNIAGAAN MASA DEPAN PEMANGKIN CORAK KEUSAHAWANAN ONLINE

Bagaimanapun, tidak semuanya mudah bagi para pengasas wetmarketonthego.com. Bahkan, pada mulanya, mereka terpaksa berdepan dengan tentangan keluarga Encik Hafiz yang juga merupakan pegerai generasi kedua di Pasar Geylang Serai.

Namun, mereka akhirnya mendapatkan sokongan keluarga setelah ahli keluarga mereka yakin dan faham bahawa tradisi niaga akan tetap bertahan, walaupun dalam corak dan wadah berbeza, demi memenuhi keperluan masa kini.

"Matlamat kami adalah untuk memberi manfaat kepada rakan-rakan pegerai di Pasar Geylang Serai sebagai saluran tambahan bagi mereka menerusi wadah kami. Kami juga mahu melanjutkan khidmat kami kepada kaum lain di Singapura yang kerap ke pasar itu bagi mencari bahan-bahan istimewa yang hanya tersedia di Pasar Geylang Serai," kongsi Cik Diah.

Para pengasas laman wetmarketonthego.com yang kini sudahpun bekerjasama dengan lebih 10 pegerai di Pasar Geylang Serai, juga berhasrat mendekati para pelanggan daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk membantu selain memperluaskan lagi rangkaian para pelanggan dalam masyarakat yang majmuk ini.

MEMETA URUS NIAGA DINAMIK

Wetmarketonthego.com terdia di pelbagai kemudahan mudah alih dewasa ini. (Gambar: wetmarketonthego.com)
Sumber : BERITA Mediacorp/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan