Images
  • court
    Tay Puay Leng (kiri) dan Chow Chuin Tee, pasangan yang menyebabkan kekecohan di pusat penjaja makanan Toa Payoh (Gambar fail: TODAY)

Pasangan yang aniaya warga tua didenda S$2,700

SINGAPURA: Pasangan yang dilihat dalam video yang menjadi viral kerana menghina dan menganiaya seorang warga tua, didenda S$2,700 hari ini (11 Ogos). Ini setelah mereka mengaku bersalah di atas kesalahan-kesalahan tersebut yang berlaku di pusat penjaja makanan Toa Payoh pada April lalu.

Chow Chuin Yee, berusia 45 tahun, didenda S$1,500 bagi satu kesalahan menyebabkan gangguan awam dan kesalahan tambahan iaitu menggunakan kekerasan jenayah ke atas Encik Ng Ai Hua, 76 tahun.

Tay Puay Leng, 38 tahun pula didenda S$1,200 bagi satu kesalahan menakut-nakutkan mangsa.

Mahkamah dimaklumkan bahawa pada malam 21 April, pasangan itu melanggani pusat penjaja makanan di Blok 210 Toa Payoh Lorong 8 untuk makan malam.

Suatu pertikaian tercetus apabila Tay enggan berkongsi meja - yang boleh menempatkan lima orang - bersama Encik Ng, yang menghampiri meja Tay sambil memegang makanan yang dibelinya.

REMPUH WARGA EMAS DENGAN KUAT DARI BELAKANG

Ketika bertengkar, Tay menggunakan kata-kata kesat yang menghina terhadap Encik Ng. Dia kemudian memanggil Chow, yang sedang membeli makanan, untuk menolongnya.

Mahkamah diberitahu bahawa apabila Chow tiba, dia merempuh dengan kuat bahagian belakang Encik Ng, sebelum bertengkar dengan warga emas itu.

Demi menahan dirinya daripada terjatuh, Encik Ng berpegang kepada meja di hadapannya.

Encik Ng beredar ke meja yang lain selepas pertikaian itu. Seorang awam yang menyaksikan pertengkaran itu kemudian menghampiri Chow dan memberitahunya bahawa dia tidak sepatutnya menolak Encik Ng.

Chow kemudian menunjukkan kemarahannya dengan menolak kesemua pinggan mangkuk sehingga jatuh ke lantai.

Kelakuan pasangan itu, dirakam oleh seseorang yang berada di tempat kejadian, menjadi viral selepas dimuat naikkan ke Facebook dan mencetuskan kekecohan di kalangan penguna-pengguna online.

Satu petisyen yang dikemukakan meminta supaya tindakan undang-undang dikenakan terhadap pasangan itu, mendapat lebih 8,000 tandatangan.

- TODAY/NA/na

Top