Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan suami isteri dijumpai mati di kondominium di Novena

Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan pihaknya dimaklumkan tentang kes itu yang berlaku di 200 Moulmein Road - alamat kepada Novena Suites.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Oct 2016 04:38PM Dikemas Kini : 23 Oct 2016 10:03PM

SINGAPURA: Polis sedang menyiasat dua kematian luar biasa - yang dipercayai sepasang suami isteri - di kondominium di Novena.

Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan pihaknya dimaklumkan tentang kes itu yang berlaku di 200 Moulmein Road - alamat kepada Novena Suites, sebuah kondominium dekat Velocity - sekitar 7.00 malam semalam (22 Okt).

Lelaki berusia 46 tahun, yang dikenal pasti sebagai Wang Chan Foo, dijumpai terbujur di kolong kondominium itu dan disahkan mati oleh para paramedik di tempat kejadian.

Seorang wanita berusia 44 tahun, yang dikenal pasti sebagai Ng Soo San, dijumpai mati dalam sebuah unit di blok yang sama.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan lelaki itu terjatuh dari balkoni semasa para pegawainya sedang memasang tilam keselamatan.

Pihak berkuasa menggunakan kekerasan untuk memasuki unit di tingkat 13 itu.

Mediacorp difahamkan Cik Ng dijumpai di salah satu bilik tidur dengan beberapa luka akibat tikaman pada bahagian tubuhnya.

Pasangan itu dipercayai dalam proses pemisahan dan mempunyai dua anak, seorang anak perempuan berusia 13 tahun dan seorang anak lelaki berusia tujuh tahun yang sedang mengikuti kelas tuisyen berdekatan apabila insiden itu berlaku.

Unit kondominium itu disewa oleh Encik Wang, sementara Cik Ng dikatakan tinggal di rumah mereka di Toa Payoh.

Polis menyatakan tiada suspek ditahan dalam kes ini. 

Sumber : CNA/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan