Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Para penduduk berang lif rosak di blok HDB di Punggol

Sejak tahun lalu, para penduduk lanjut usia di Blok 621B, Edgefield Walk di Punggol - yang merangkumi sebahagian besarnya flat sewa dua bilik dan apartmen studio - terpaksa menghadapi lif-lif yang rosak.

Anggaran Waktu Membaca:
Para penduduk berang lif rosak di blok HDB di Punggol

Lif-lif di Blok 621B, Edgefield Walk di Punggol yang rosak selama setengah hari. (Gambar: Faris Mokhtar/TODAY)

Diterbitkan : 19 Jun 2017 10:53PM Dikemas Kini : 19 Jun 2017 10:57PM

SINGAPURA: Sejak tahun lalu, para penduduk lanjut usia di Blok 621B, Edgefield Walk di Punggol - yang merangkumi sebahagian besarnya flat sewa dua bilik dan apartmen studio - terpaksa menghadapi lif-lif yang rosak.

Pada Sabtu (17 Jun), kedua-dua lif tidak berfungsi selama setengah hari - dari tengah hari hingga tengah malam.

Sebagai memberi respons kepada beberapa pertanyaan, pengerusi Majlis Bandaran Punggol Zainal Sapari mendedahkan bahawa lif-lif itu adalah antara kelompok yang dikendalikan oleh Sigma - iaitu pembuat lif yang sudahpun digantung daripada membuka tender bagi kontrak baru sejak Oktober 2015 disebabkan prestasi yang kurang memuaskan.

Para penduduk di blok sebanyak 256 unit itu, dengan kebanyakan daripada mereka adalah warga senja, memberitahu Mediacorp bahawa lif-lif rosak tersebut adalah masalah yang berulang, meskipun sering menjalani pembaikan oleh para teknisyen.

Beberapa isu itu termasuk pintu-pintu yang ditutup terlalu pantas sebelum para penduduk dapat masuk atau keluar dan lif yang berhenti secara mendadak.

Pesara Atmee Saini, 67, yang tinggal di tingkat 13, terkejut apabila pintu lif tiba-tiba terbuka selepas terhenti secara mendadak di tingkat enam pada Sabtu. Beliau dan cucunya yang berusia 14 tahun juga terpaksa turun tangga, yang menyebabkannya sesak nafas sebaik saja beliau tiba di tingkat satu.

Encik Zainal berkata majlis bandaran mengambil sebarang maklum balas mengenai lif rosak "secara serius" dan sedang bekerjasama dengan Sigma untuk menyiasat punca kerosakan itu.

Majlis bandaran itu juga sedang menyemak bantuan yang dapat diberikan kepada para penduduk jika semua lif di blok itu mengalami kerosakan di masa hadapan, dedah Anggota Parlimen bagi GRC Pasir Ris-Punggol. Dengan menjelaskan kerosakan yang berlaku pada hujung minggu, Encik Zainal berkata salah sebuah lif - Lif B - ditutup Khamis lalu disebabkan alat kawalan yang rosak. Ia dijangka kembali beroperasi hari ini.

Lif lain yang masih berfungsi - Lif A - juga terpaksa ditutup pada Sabtu disebabkan sentuhan pintu yang kurang baik dan pendaratan yang tidak rata.

"Saya mahu memberi jaminan kepada penduduk bahawa semua lif harus menjalani rejim penyenggaraan yang ketat, mengikut garis pandu yang ditetapkan Penguasa Bangunan dan Binaan," kata Encik Zainal.

Para penduduk juga mengadu bahawa tiada papan tanda yang diletakkan di luar lif rosak bagi menandakan ia rosak, kata Encik Zainal. Beliau turut berkata arahan juga sudahpun diberikan kepada syarikat lif tentang perlunya untuk meletakkan notis sedemikian.

"Kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap syarikat lif jika mereka gagal memenuhi piawai khidmat yang dijanjikan... Bagi kes ini, kami akan mengenakan denda ke atas syarikat lif berkenaan," dedahnya.

Sumber : Today/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan