Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Orang Asia lebih mudah hidap kencing manis Jenis 2 kerana kurang hasilkan insulin: kajian NUH

Anda mungkin tampak langsing. Tetapi itu bukan bermakna anda bebas daripada risiko menghidap kencing manis.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Anda mungkin tampak langsing. Tetapi itu bukan bermakna anda bebas daripada risiko menghidap kencing manis.

Menurut para penyelidik daripada Hospital Universiti Nasional Singapura (NUH), orang Asia sebenarnya mudah terdedah menghidap kencing manis Jenis 2 meskipun tidak mempunyai masalah kegemukan atau obesiti.

Berdasarkan dapatan awal kajian mereka, puncanya ialah badan orang Asia kurang menghasilkan insulin.

Para penyelidik NUH tersebut memulakan kajian mereka pada tahun lalu dengan sampel diambil daripada 140 peserta, kebanyakannya kaum Cina.

Separuh merupakan pesakit prakencing manis manakala bakinya orang biasa.

Setelah mereka melalui ujian penerimaan glukos lisan (OGTT), keupayaan mengeluarkan insulin di kalangan mereka yang menghidap kencing manis, berkurangan sehingga 36% berbanding bukan pengidap kencing manis.

Dapatan itu berbeza dengan orang barat, yang lebih mampu menghasilkan insulin untuk mengawal paras gula dalam tubuh.

Maka itu, orang Asia lebih terdedah menghidap kencing manis sungguhpun mereka mempunyai kadar jisim tubuh atau BMI yang sama dengan orang Eropah.

"Dalam diet kita, memang banyak nasi dan banyak karbohidrat yang bila masuk badan kita, ia cepat bertukar kepada gula. Ini menyebabkan bila gula naik begitu tinggi, badan kita mungkin tertekan kena menghasilkan insulin dengan cepat dan dengan banyak.

"Tetapi orang Asia, nampaknya, bila kita naik berat badan sedikit sahaja, kita sudah menghadapi masalah kerana kita tidak mampu menghasilkan insulin dengan begitu efisien. Oleh kerana kita kurang mampu untuk membuat insulin, kita punya risiko untuk menghidap penyakit kencing manis akan lebih tinggi." kata Dr Sue-Anne Toh, penyelidik utama NUH.

Selain pemakanan, Dr Toh menekankan, kunci mencegah penyakit kencing manis memerlukan amalan gaya hidup lebih sihat dan aktif.

"Sekarang ini, ubat untuk kencing manis semuanya mempunyai fungsi berbeza-beza. Kalau kita faham apa proses yang tidak terkawal dalam seseorang individu, kita mungkin boleh memilih ubat yang paling sesuai untuk individu itu. Dengan itu, kita harap boleh menolong mereka kawal penyakit kencing manis dengan lebih efektif," tambahnya.

Kajian ini dijangka tamat pada tahun 2021 dengan sasaran 2,300 peserta.Sekitar 1,350 orang telah mendaftar untuk menyertai kajian tersebut.

Para pengkaji berharap dapat melibatkan lebih ramai peserta, khususnya daripada masyarakat Melayu dan India.

Ini memandangkan 17% masyarakat Melayu menghidap kencing manis berbanding purata nasional iaitu 10%. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FR/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan