Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nursusilla Kassim dijel 20 minggu kerana jual MC palsu

Seorang wanita berusia 26 tahun yang memalsukan sijil-sijil perubatan (MC) dipenjara 20 minggu hari ini (24 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Nursusilla Kassim dijel 20 minggu kerana jual MC palsu

(Gambar hiasan: AFP/Joe Raedle)

Diterbitkan : 24 Mar 2017 08:08PM Dikemas Kini : 24 Mar 2017 08:09PM

SINGAPURA: Seorang wanita berusia 26 tahun yang memalsukan sijil-sijil perubatan (MC) dipenjara 20 minggu hari ini (24 Mac).

Nursusilla Kassim menjual MC palsu itu kepada dua lelaki, yang menggunakannya sebagai alasan untuk tidak menjalani sejumlah empat ujian kencing, kata Timbalan Pendakwa Raya Leong Kit Yu.

Nursusilla mengaku bersalah atas dua tuduhan membantu kedua-dua lelaki itu menggunakan dokumen palsu sebagai dokumen yang sah. Lagi dua tuduhan terhadapnya diambil dalam pertimbangan.

Kedua-dua lelaki itu - Mohammad Rashid Hatnan, 41 tahun dan Sahlan Moati, 34 tahun - dikenakan Arahan Pemantauan selama 24 bulan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) yang menghendaki mereka memberikan sampel air kencing dua kali seminggu.

Rashid tidak menjalani ujian itu pada 4 Januari, dan meminta bantuan seorang rakannya, Shaik Abood Abdullah, untuk mendapatkan MC palsu. Abood memperkenalkan Rashid kepada Nursusilla, yang menjualnya MC Hospital Khoo Teck Puat yang palsu pada harga S$20.

Tindakan mereka itu terbongkar apabila seorang pegawai CNB mendapati MC itu mengandungi maklumat yang salah dan satu pemeriksaan dengan hospital itu mendedahkan bahawa Rashid bukan seorang pesakit di situ.

Sahlan juga menggunakan tiga MC Hospital Tan Tock Seng yang palsu yang didapatkannya dari Nursusilla untuk tidak menjalani tiga ujian air kencing pada Januari. Seperti Rashid, dia diperkenalkan kepada Nursusilla oleh Abood.

Ketiga-tiga lelaki itu kemudian ditangkap dan didakwa. Rashid dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan enam bulan masing-masing kerana menggunakan dokumen palsu sebagai dokumen yang sah, dan kerana gagal menjalankan ujian air kencing. Hukuman-hukuman penjara itu akan dijalaninya berturut-turut.

Abood, yang menghadapi 10 tuduhan, kini ditahan reman. Waran tangkap sudah dikeluarkan untuk Sahlan, yang sudah melarikan diri dan sedang diburu.

Ketika menjatuhkan hukuman penjara 20 minggu terhadap Nursusilla, Hakim Daerah Lim Keng Yeow berkata wanita itu layak dijatuhkan hukuman penjara lebih lama daripada rakan subahatnya Rashid kerana dialah yang "menjalankan pemalsuan itu."

Hakikat bahawa dia tidak tahu bagaimana kedua-dua lelaki itu akan menggunakan MC palsu mereka tidak mengurangkan kebertanggungjawabannya kerana "ternyata ia akan digunakan untuk memperdayakan dan untuk pelbagai tatalaku melanggar undang-undang."

Peguam Nursusilla, Encik Foo Juyuan, yang mengendalikan kes itu di bawah skim Bantuan Guaman Jenayah, berkata ibu empat anak itu terpaksa bekerja di sebuah bar sambil menjaga anak-anaknya yang kecil.

Wanita itu berhenti bekerja pada Julai 2016 selepas majikannya enggan memberikannya cuti bersalin ketika dia hamil anak lelakinya, yang kini berusia tiga bulan, kata Encik Foo.

Menurut Nursusilla, dia mendapatkan MC-MC palsu itu daripada sebuah pembekal untuk dijual.

Dia akan menjalani hukuman penjara pada 13 April, untuk memberikannya masa mengaturkan penjagaan bagi tiga anak perempuannya dan anak lelakinya yang baru lahir.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan