Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nur Masyitah catat sejarah bagi Madrasah Aljunied raih 7 A1 dalam GCE O

Nur Masyitah Borhan muncul sebagai antara pelajar terbaik dari Madrasah Aljunied Al-Islamiah dengan mencapai A1 untuk kesemua tujuh mata pelajaran, dalam keputusan peperiksaan CGE O yang dikeluarkan hari ini (11 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Nur Masyitah Borhan muncul sebagai antara pelajar terbaik dari Madrasah Aljunied Al-Islamiah dengan mencapai A1 untuk kesemua tujuh mata pelajaran, dalam keputusan peperiksaan GCE O yang dikeluarkan hari ini (11 Jan).

Hampir setiap hari Nur Masyitah pulang ke rumah selepas jam 8.00 malam.

Dengan bantuan guru-guru, beliau serta rakan-rakan bertungkus lumus menelaah setiap mata pelajaran.

Nur Masyitah raih keputusan 7 A1 dalam GCE O. (Gambar: Nur Masyitah Borhan)

Nur Masyitah diumumkan sebagai pelajar terbaik. (Gambar: Nur Masyitah)

"Program-program yang diadakan di Madrasah Aljunied amat berkesan terutama sekali program LSP iaitu 'Learning Support Programme' di mana kami belajar dari 4.30 petang hingga 8.00 malam.

"Saya berasa terharu dan juga bangga kerana dapat membuktikan bahawa pelajar-pelajar madrasah berjaya dalam kedua-dua aliran - akademik dan ukhrawi, " kata Nur Masyita sungguh-sungguh kepada BERITAMediacorp semasa berkongsi rahsia kejayaannya itu.

Menurut Mudir Madrasah Aljunied Ustaz Mahmoud Mathlub Sidek, keputusan yang diraih Nur Masyitah adalah pertama kali dalam sejarah madrasah itu.

Ustaz Mahmoud menekankan: "Dalam sejarah madrasah, belum pernah kita mendapat seorang pelajar mendapat A1 bagi kesemua mata pelajaran yang diambilnya dan ini merupakan petanda yang baik, sebagai satu lambang bahawa para pelajar madrasah ini apabila diberikan dorongan mampu mencapai kecemerlangan yang baik setaraf dengan para pelajar di sekolah-sekolah nasional."

PELAJAR MADRASAH CATAT KEPUTUSAN MEMBANGGAKAN

Sementara itu, pelajar Madrasah Al-Sagoff Al-Arabiah, Ummul Nazihah Ramli, meraih agregat 7 bagi bagi keputusan GCE O.

Bagi Nazihah, keputusan itu tidak disangka-sangka dan berterima kasih atas tunjuk ajar dan bimbingan para gurunya.

Gambar: Ummul Nazihah

Ummul Nazihah bersama rakan-rakannya. (paling kanan). (Gambar: Ummul Nazihah Ramli)

"Saya ada beberapa guru yang dijadikan sebagai inspirasi, misalnya guru bahasa Arab saya. Beliau begitu meminati bahasa Arab, begitu juga saya. Guru-guru saya sering memberi kata-kata perangsang, dan membuat saya lebih bermotivasi,” kata Nazihah apabila dihubungi wartawan BERITAMediacorp.

Pelajar Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah, Murshidah Albakri, menitiskan air mata gembira apabila diumumkan sebagai antara Pelajar Terbaik Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah.

Seperti Masyita, Murshidah Albakri, juga percaya pentingnya untuk bijak mengimbangi jadual sekolah yang padat supaya dapat menjadi pelajar yang menyeluruh.

"Motto kehidupan saya ialah 'Work hard, play hard' (Rajin bermain, rajin kerja keras). Kalau hendak main dengan kawan boleh tapi pada akhirnya harus balik dan belajar, dan selalu konsisten dan baca doa selalu," ujar Murshidah.

TAHUN PERTAMA PELEPASAN YURAN PEPERIKSAAN BAGI MADRASAH

Lebih 300 pelajar dari kesemua enam madrasah setempat juga menerima keputusan peperiksaan GCE 'O' hari ini.

Ia juga merupakan tahun pertama sejak pelepasan yuran peperiksaan nasional dilanjutkan kepada pelajar madrasah.

Selain sokongan kewangan, Program Sokongan Pembelajaran (LSP) juga memberi manfaat kepada pelajar madrasah, sekali gus mencapai kecemerlangan setanding pelajar peringkat nasional.

Kesemua 311 pelajar madrasah kohort tahun lalu tidak dikenakan yuran peperiksaan GCE 'O' yang dianggarkan bernilai $162,000 untuk enam hingga lapan mata pelajaran.

83.8% LULUS SEKURANG-KURANGNYA 5 SUBJEK, PALING TINGGI SEJAK 1995

Menurut Kementerian Pendidikan (MOE) jumlah pelajar yang lulus peperiksaan GCE O dengan memperolehi kelulusan bagi lima atau lebih mata pelajaran, meningkat kepada 83.8 peratus pada tahun lalu dan perangkaan itu adalah yang tertinggi sejak 1995.

Pada tahun lalu, 83.3 peratus daripada kohort yang menduduki peperiksaan yang sama pada 2014, lulus dalam sekurang-kurangnya lima mata pelajaran.

Daripada 29,723 calon sekolah yang menduduki peperiksaan GCE O pada tahun lalu, 29,695 atau 99.9 peratus lulus dalam sekurang-kurangnya satu mata pelajaran, jumlah yang sama pada tahun sebelumnya.

Seramai 28,556 atau 96.1 peratus lulus dalam sekurang-kurangnya tiga mata pelajaran, satu peningkatan berbanding 95.9 peratus yang lulus dari kohort sebelumnya

Bagi 3,950 pelajar Normal (Akademik) yang menduduki peperiksaan GCE O, 88.6 peratus lulus sekurang-kurangnya dalam satu mata pelajaran berbanding 87.9 peratus dari kohort tahun lalu.

Seramai 1,983 calon privet menduduki peperiksaan tersebut, dengan 90.5 peratus lulus dalam sekurang-kurangnya satu mata pelajaran berbanding 89.5 peratus pada 2014.

Para pelajar boleh mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai pelbagai pilihan pendidikan yang ditawarkan kepada mereka selepas GCE O menerusi portal pendidikan dan bimbingan kerjaya MOE di laman ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan