Images
  • ntuc
    Di bawah inisiatif 'Great Taste Less Waste', NTUC Fairprice membungkus semula buah-buahan dan sayur-sayuran untuk menjadikannya lebih menarik bagi para pengguna. (Gambar: TODAY/Wee Teck Hian)

NTUC Fairprice kurangkan pembaziran makanan sebanyak 48,000 kg tahun lalu

SINGAPURA: Rangkaian pasar raya NTUC Fairprice mengurangkan pembaziran makanannya sebanyak 48,000 kilogram tahun lalu, menurutnya pada Khamis (20 Apr).

Dalam kenyataan media, Fairprice menyatakan indeks pembaziran makanannya, yang mengambil kira jumlah sisa makanan setiap kaki persegi bagi ruang runcit, jatuh dari 6.9 kilogram setiap kaki persegi, kepada 6.3 kilogram setiap kaki persegi pada 2016.

Apabila ia pertama kali melancarkan inisiatif pengurangan sisa makanan pada 2014, indeksnya adalah 11.6 kilogram bagi setiap kaki persegi.

Menurut pasar raya tersebut, penurunan itu didorong oleh inisiatif-inisiatif pengurangan sisa makanan dan derma.

Salah satu daripadanya, inisiatif 'Great Taste Less Waste', di mana ia memotong buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak menarik perhatian dalam bentuk kecil dan membungkusnya semula pada harga lebih murah untuk menjadikannya lebih menarik bagi para pengguna.

Buah-buahan dan sayur-sayuran membentuk sejumlah besar sisa makanan, yang turut merangkumi sekitar 60 peratus daripada kesemua sisa makanan, menurut Fairprice.

Di bawah kerjasama dengan pertubuhan tidak mengaut untung, Food from the Heart, Fairprice juga sudah mendermakan produk makanan dalam tin yang "tidak dijual tetapi masih selamat dimakan" bernilai lebih S$290,000 kepada golongan yang memerlukan.

Ia turut mendermakan S$150,000 kepada kempen Clean Plates bagi Food from the Heart, yang bertujuan untuk menggalak lebih 10,000 pelajar sekolah rendah agar tidak membazir makanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Fairprice Seah Kian Peng menyatakan pengurangan sisa makanan kekal menjadi keutamaan penting bagi komitmen peruncit itu ke arah kemampanan.

"Ia suatu yang menggalakkan bahawa pelbagai inisiatif yang kami perkenalkan untuk menangani isu ini sudah menarik perhatian ramai dalam masa yang singkat dengan sokongan kuat oleh masyarakat dan rakan-rakan syarikat kami," menurutnya. 

- CNA/im

Top