Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NTU minta maaf atas kekeliruan berhubung papan tanda bahasa Cina, kedai runcit

Universiti Teknologi Nanyang (NTU) semalam (28 Jun) meminta maaf atas "kekeliruan" dan "keadaan yang kurang jelas" selepas penyewa gerai makanan dan cawangan runcit di kampus universiti itu diarahkan supaya menggantikan papan tanda dwi-bahasa kepada papan tanda dalam bahasa Inggeris sahaja. 

Anggaran Waktu Membaca:
NTU minta maaf atas kekeliruan berhubung papan tanda bahasa Cina, kedai runcit

Gambar fail Universiti Teknologi Nanyang. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 29 Jun 2017 12:25PM Dikemas Kini : 29 Jun 2017 12:30PM

SINGAPURA: Universiti Teknologi Nanyang (NTU) semalam (28 Jun) meminta maaf atas "kekeliruan" dan "keadaan yang kurang jelas" selepas penyewa gerai makanan dan cawangan runcit di kampus universiti itu diarahkan supaya menggantikan papan tanda dwi-bahasa kepada papan tanda dalam bahasa Inggeris sahaja.

Ia berbuat demikian seminggu selepas media Cina tempatan melaporkan bahawa gerai-gerai diberitahu oleh kakitangan universiti tersebut supaya menggantikan papan tanda itu dengan papan tanda dalam bahasa Inggeris saja.

"Tiada dasar di NTU yang melarang penggunaan bahasa Cina di papan tanda gerai makanan atau cawangan runcit," menurut presiden NTU Bertil Andersson dalam satu kenyataan.

Beliau mengakui bahawa orang ramai meluahkan rasa kurang senang mengenai isu tersebut sejak beberapa hari lalu.

"Kami meminta maaf atas kekeliruan dan keadaan kurang jelas mengenai isu itu," kata Profesor Andersson sambil menambah bahawa siasatan yang "menyeluruh" akan dijalankan.

Dapatan awal siasatan itu menunjukkan bahawa masalah-masalah itu timbul akibat "arahan yang diberikan kepada pengendali gerai makanan supaya mempamerkan papan tanda mereka menggunakan bahasa Inggeris sahaja."

"Perkara ini tidak dibenarkan mana-mana dasar NTU," kata Prof Andersson.

Beliau juga mengatakan NTU sudahpun memberitahu para pegerai bahawa mana-mana bahasa daripada tiga bahasa rasmi Singapura - iaitu Melayu, Tamil dan Cina - boleh digunakan, selagi maklumat yang sama dipamerkan dalam bahasa Inggeris.

Sebuah panel lima anggota ditubuhkan untuk menyiasat perkara itu. Siasatan itu dijangka akan mengambil masa enam hingga lapan minggu.

"Jika siasatan itu mendapati kakitangan NTU tidak bertindak menurut dasar dan nilai NTU, mereka akan dipertanggungjawabkan," tegas Prof Andersson.

"Kami bertanggungjawab atas insiden ini dan juga respons awal kepada pihak media, yang malangnya tidak menangani isu ini dengan jelas," beliau menambah.

"Kami tidak memberikan sebarang alasan atas apa yang berlaku yang menimbulkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat Cina."

Mediacorp difahamkan bahawa pegerai yang terjejas di pusat makanan North Spine yang sudah menanggung perbelanjaan untuk membuat papan tanda baru boleh menghantar tuntutan mereka kepada NTU untuk mendapatkan bayaran balik.

Pengendali pusat makanan Select Group kini berhubungan dengan para pegerai, dan sudahpun memaklumkan mereka secara lisan. Ia juga akan melakukan sedemikian melalui emel.  

Sumber : CNA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan