Images
  • drone (1)
    Dron dengan 'dongle' M1 yang membolehkannya dikendalikan dengan rangkaian 4.5G. (Gambar: Loke Kok Fai)

NTU, M1 kerjasama gunakan rangkaian telefon bimbit 4.5G bantu dron terbang lebih tinggi, jauh

SINGAPURA: Para pengkaji dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan syarikat telko M1 sedang mengkaji bagaimana dron boleh diterbangkan dengan menggunakan rangkaian telefon bimbit.

Ini mungkin membolehkannya untuk digunakan dengan selamat bagi kegiatan seperti pengawasan, pemeriksaan dan penghantaran, dan juga membolehkannya untuk terbang lebih tinggi dan lebih jauh lagi.

NTU dan M1 memeterai Memorandum Persefahaman pada Khamis (7 Dis) bagi membangunkan rangkaian 4.5G telko itu untuk pengurusan lalu lintas dron di Singapura, menyusuli beberapa percubaan berjaya di Taman Perniagaan Antarabangsa dan dua padang di Wan Shih Road dan Old Holland Road.

Buat masa ini, dron yang diterbangkan menggunakan isyarat radio tradisional - menggunakan jalur 2.4GHz tidak berlesen - boleh mengalami gangguan, terbang pada jarak lebih dekat dan mungkin digodam. Ia juga mempunyai aras penerbangan pada ketinggian sekitar 61 meter.

Dron operasi pada rangkaian 4.5G membolehkan penghantaran data ukuran semasa penerbangan pada masa nyata sementara lokasi khususnya di ruang udara dipantau.

Dengan menggunakan teknologi rangkaian heterogen, dron ini juga boleh menukar kepada rangkaian 4G atau 3G, sekiranya 4.5G tidak boleh dikesan. Ini boleh dilakukan bagi ketinggian sehingga 130 meter dan membolehkan dron untuk diterbangkan walaupun di luar laluan pandangan pengendalinya.

Projek NTU-M1 itu dijangka berterusan selama tiga tahun, dengan M1 menyediakan kepakaran rangkaian dan kejuruteraan, dan NTU memberikan kepakaran dalam pengurusan lalu lintas bagi sistem udara tanpa pemandu.

Projek berkenaan melibatkan ujian liputan rangkaian telko itu, serta pemetaan di mana beberapa bahagian ruang udara Singapura selamat bagi penerbangan dron.

Para pengkaji berharap dapatan dari kolaborasi itu juga boleh menawarkan wawasan bagi operasi tanpa pemandu menggunakan rangkaian 5G masa depan, yang membolehkan perhubungan yang lebih pantas dan utuh.

Projek tersebut diterajui oleh Profesor Low Kin Huat dari Sekolah Mekanikal dan Kejuruteraan Aeroangkasa NTU dan Mohamed Faisal Mohamed Salleh, penyelidik kanan di Institut Kajian Pengurusan Trafik Udara (ATMRI) universiti itu.

Kerja mereka menambah kepada kajian yang sebelum ini dilakukan oleh institut itu tentang cara untuk membolehkan beratus-ratus Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV) untuk terbang dengan cekap dan selamat di ruang udara Singapura pada satu-satu masa.

Beliau turut berkata dapatan ini juga akan membantu memperhalusi kerja ATMRI, dan bahawa institut itu dan M1 akan menguji kesan bidang berbeza dan laluan pada prestasi rangkaian.

- CNA/IM/im

Top