Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Night of Power' ajak 300 belia kukuhkan jati diri, berbakti kepada masyarakat

Jangan sekali-kali membiarkan perasaan negatif mengubah dan membentuk keperibadian dan jati diri kita.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jangan sekali-kali membiarkan perasaan negatif mengubah dan membentuk keperibadian dan jati diri kita.

Maka itu, adalah penting untuk kita terus kekal positif dan optimis semasa mengharungi pelbagai cabaran hidup.

Ciri-ciri positif ini cuba diterapkan melalui satu pementasan bertajuk GUA, cetusan idea dan karya oleh Cakap Pasal Remaja.

Inisiatif oleh para pemimpin belia ini juga merupakan antara daya tarikan utama acara tahunan Night of Power yang diadakan di Masjid Al-Ansar semalam (17 Jun).

Sekitar 300 belia berhimpun di Masjid Al-Ansar untuk menghadiri dan mengambil bahagian dalam acara 'Night of Power' ini.

DORONG BELIA MUHASABAH, SEMAI SIKAP POSITIF

Dengan tema "Rahmah Bermula Daripada Saya", acara tahunan ini yang dikhususkan untuk golongan belia sempena bulan Ramadan, turut mengajak para peserta untuk mengukuhkan jati diri dan berbakti kepada masyarakat.

Bersulamkan nilai-nilai keislaman, GUA mendorong para belia supaya bermuhasabah dan menyemai sikap-sikap positif dalam kehidupan seharian mereka.

Sebuah forum kemudian diadakan bagi mengupas isu-isu yang dibangkitkan dalam pementasan tersebut.

Selebriti tempatan Elfaeza Ul-Haq yang tampil sebagai salah seorang ahli panel turut memberi inspirasi dan mengongsi cara untuk terus menyebarkan rahmah.

"Orang kata, mereka yang membawa dan mengajak orang kepada kebaikan, insyaAllah, akan mendapat pahala sama dengan mereka yang melakukannya. Jadi dengan ini, Elfa menggalak dan mengajak semua orang di luar sana untuk membawa dan mengajak orang lain kepada kebaikan, insyaAllah," Elfaeza memberitahu BERITAMediacorp.

"Saya ingin tahu apakah mesej di sebalik lakonan mereka dan cerita-cerita daripada pelakon tanah air kita, ustaz dan asatizah. Sebagai kakak pada adik-beradik saya, saya mendorong mereka untuk turun ke masjid kerana bukan sahaja di rumah, kita juga harus menyumbang semula kepada masyarakat," kata salah seorang peserta, Nursuhailah Mohamad.

PUPUK MINAT TERUS BERIBADAH

"Harapan saya bagi belia-belia yang hadir 'Night of Power' ini, mereka dapat memupuk minat untuk terus beribadah dengan masjid dan menolong masjid-masjid dan juga mungkin memupuk semangat kesukarelawanan di masjid. Tapi alhamdulillah, kali ini kita melakukan sesuatu yang agak berlainan yang mungkin boleh menarik mereka untuk datang," kata Pengerusi Ramadan Youth Challenge, Muhammad Syakir Noor'ain.

Para peserta juga berpeluang mengikuti satu sesi perbincangan yang dikendalikan sendiri oleh Mufti Negara, Dr Mohd Fatris Bakaram.

"Night of Power" ini turut menyelitkan acara qiyam yang berlangsung sehingga waktu sahur. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan