Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NIEC - Institut baru bagi latih guru prasekolah

Pemerintah mengumumkan sebuah institut pendidikan prasekolah yang baru dalam usaha mempertingkat kerjaya guru prasekolah demi menarik guru dan penjaga yang lebih baik.

Anggaran Waktu Membaca:
NIEC - Institut baru bagi latih guru prasekolah

Gambar fail guru dengan kanak-kanak prasekolah. (Gambar: MCI)

Diterbitkan : 20 Aug 2017 11:02PM Dikemas Kini : 21 Aug 2017 12:57AM

SINGAPURA: Pemerintah mengumumkan sebuah institut pendidikan prasekolah yang baru dalam usaha mempertingkat kerjaya guru prasekolah demi menarik guru dan penjaga yang lebih baik.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (20 Ogos) mengumumkan Institut Nasional Pembangunan Awal Kanak-Kanak (NIEC) yang baru adalah NIE bagi "guru-guru prasekolah dan penjaga".

Ia menawarkan program pendidikan yang luas dari peringkat sijil hingga diploma.

NIE atau Institut Pendidikan Nasional adalah institut kebangsaan bagi melatih guru-guru di sini.

NIEC akan menyatukan program-program sedia ada di Politeknik Temasek, Ngee Ann, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan Institut SEED NTUC di bawah satu bumbung.

Berucap di Rapat Umum Hari Kebangsaan, PM Lee mengatakan buat masa ini tiada institut yang memusatkan program pembangunan awal kanak-kanak.

Misalnya, sejak tahun lalu, Politeknik Ngee Ann dan Institut SEED menawarkan kepada guru prasekolah kursus dalam pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas.

Politeknik Temasek pula menawarkan diploma dalam Penjagaan Awal Kanak-Kanak dan Pendidikan - Mengajar, manakala ITE menawarkan kursus NITEC Lanjutan dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Menerusi NIEC, pemerintah berharap untuk menggalak lebih ramai orang menyertai sektor prasekolah dan mempertingkat kerjaya itu, kata PM Lee.

Beliau berkata guru-guru Kementerian Pendidikan (MOE) untuk sekolah rendah dan menengah serta maktab rendah sudah dilatih dengan baik di NIE.

NIE membolehkan para guru pelatih mengikuti beberapa program NIE sebelum mereka mula mengajar. Ia juga menjalankan kajian dan memastikan kaedah pengajaran mengikut perkembangan terkini.

"Dari masa ke masa sepanjang kerjaya mereka, para guru boleh kembali ke NIE untuk mempertingkat diri mereka dan mempersiapkan diri untuk menyandang jawatan lebih kanan," kata PM Lee.

Memandangkan guru-guru MOE melakukan "tugas yang bermakna", mereka menikmati gaji yang berdaya saing dan mempunyai laluan kerjaya yang baik, seperti jawatan pengetua sekolah atau superintenden kelompok atau pakar mata pelajaran yang membangunkan sukatan pelajaran yang baru.

"Oleh kerana guru-guru telah dilatih dengan baik, diberikan gaji yang baik dan mempunyai laluan kerjaya yang juga baik, individu-individu yang berwibawa berminat untuk mengajar dan kita mempunyai sistem pendidikan yang baik," kata beliau.

"Kita akan mengambil pendekatan yang sama bagi para guru prasekolah, melatih mereka dengan baik dan menarik individu-individu yang baik dan mempunyai minat yang mendalam."

NIEC akan dapat membangunkan kurikulum-kurikulum, dengan pelbagai bidang tukikan yang berbeza termasuk muzik, seni, bahasa ibunda dan pendidikan khas, kata PM Lee.

Fakulti itu juga akan menawarkan lebih banyak peluang bagi pembangunan dan kemajuan kekaryawanan dalam kalangan institut pendidikan yang lebih besar .

Anugerah-anugerah latihan bagi para penuntut NIEC akan diberikan oleh pemerintah.

"Anugerah-anugerah itu merangkumi yuran dan elaun, supaya para guru prasekolah boleh memulakan kerjaya dengan bersemangat," tambah beliau.

Pemerintah juga akan bekerjasama dengan para majikan bagi memastikan prospek kerjaya dan gaji para guru prasekolah berdaya saing.

Meskipun gaji para guru prasekolah lebih tinggi sejak lima tahun lalu, ia perlu dinaikkan lagi sedang pemerintah mempertingkat kerjaya itu.

"Khususnya, gaji mereka akan sepadan dengan kemajuan seseorang guru prasekolah, supaya kita bukan setakat menerima tenaga kerja yang baik tetapi juga pakar dan pemimpin yang berwibawa dan komited.

"Jadi, jika anda mempunyai minat yang mendalam untuk bekerja dengan kanak-kanak, saya harap anda akan menimbangkan kerjaya dalam sektor prasekolah," kata PM Lee.  

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan